Showing posts with label Mini Novel. Show all posts
Showing posts with label Mini Novel. Show all posts

Tuesday, September 17, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 3-


O
rang kata cinta itu sangat manis. Macam gula. Gula yang manis itu sangat diingini oleh semut. Sanggup makhluk kecil itu berkerumun kepada sebutir gula hanya sekadar ingin merasai nikmat rasa manisnya gula. Seperti itu juga manusia, sangat suka merasai manisnya cinta. Sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi merasai manisnya cinta. 

Sakeena. Sepotong nama nan indah dan tenang dengarnya setenang dan seindah maksudnya, ketenangan.

Erti hidup baginya adalah kebebasan. Bebas melakukan apa sahaja. Telah sebati istilah itu mengakar dalam dirinya. Sejak kecil lagi. Apa sahaja yang diinginkannya pasti sahaja sekelip mata dia peroleh. Tidak pernah dia merasakan susah. Sebut sahaja. Makanan, pakaian, hiburan, apa semua yang terlintas pastinya termakbul. Sungguh indah hidupnya. Bagaikan syurga!

Saturday, July 13, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 2-


 Assalamualaikum. Alhamdulillah siap satu entri yang sudah lama sangat rasanya nak sambung tapi tak tersambung-sambung dek kerana komitmen yang berantaian. Entri sempena Ramadhan insyaAllah..

Diharap sambungan cerpen ini membuka peluang dan ruang yang lebih besar buat saya untuk terus berkarya. Saya amat mengharapkan sebarang komentar (positif atau negatif) insyaAllah demi sebuah hasil penulisan yang lebih mantap. 
Baca Siri 1 (intro)

SELAMAT MEMBACA!!!

___________________________________________________________________________

 

“Sakinah…”


“Sakinah……”

Tubuh itu kaku tidak berkutik.

“Sakinah………” dengan penuh sabar pemilik suara itu terus menyeru. Gadis itu tetap tidak berganjak daripada hujung kaki tubuh insan yang terbaring lemah di hadapannya. Dengan perlahan-lahan tangannya menguis sedikit hujung kaki yang bertutup dengan kain sembahyang itu. Akhirnya tubuh itu mengunyai juga bergerak. Menggeliat sedikit. Namun matanya masih terpejam rapat.

“Sakinah….bangun dik… Sakinah dah solat ke? dah masuk subuh ni”. Seperti baru tersedar tubuh itu. Tergesa-gesa sahaja badannya melantun bangun dari pembaringannya.

“Pukul berapa dah kak? Keena tak solat lagi ni.” Buru-buru dia membuka telekungnya dan bergegas ke tandas.

“Eh dik, awal lagi ni, baru ja masuk subuh… gelap lagi tu ha kat luar tu!” Sedikit melaung suara gadis yang sudah lengkap berjubah rona merah jambu itu.

Setelah menyegarkan diri dengan air wudhuk, Sakeena segera keluar dari kamar mandi. Lantas didapatinya Wardah sudah siap berteleku di atas tikar sejadah berserta sehelai sejadah lagi terhampar di sebelahnya.

“Dah siap dik? Kita solat sekali ya?” Insan yang bernama Wardah itu mengalihkan sedikit badannya sambil tersenyum menampakkan lekukan kecil di pipi kanannya.

“Ya kak, kejap ya nak pakai telekung” Sakeena menghadiahkan kembali senyuman yang dirasakan paling menawan kepada kakak ‘angkatnya’ itu.

“AllahuAkbar….”

Hening pagi itu dibelah dengan gemersik alunan suara Wardah. Ayat-ayat suci dari Surah Al-Waqiah dibaca bagi solat dua rakaat itu. Sakeena tenggelam dalam lautan rasa. Betapa kini baru dapat dia merasa satu kenikmatan yang tidak terkata. Berasa hampir dengan Allah. Dirinya amat mensyukuri peluang yang Allah kurniakan kepadanya untuk kembali berada di atas jalan putih bersih. Segala kenangan lama itu pastinya tidak sekali-kali dapat dipadam dari kotak memorinya. Apa yang mampu dilakukannya adalah mengambil iktibar dan membina benteng diri yang benar-benar kukuh. Mudah sahaja hatinya tersayat pilu. Titik jernih itu mengalir kembali dalam sujudnya mengahadap Ilahi…

Usai sahaja solat, mereka teruskan pula dengan zikir ma’thurat sughra. Bibir Sakeena terkumat-kumit cuba mengikut rentak bacaan Wardah. Biarpun Wardah membaca secara lambat-lambat tetap sahaja lidahnya berasa begitu keras tergeliat untuk menurut. Ini bukanlah kali pertama dia belajar membaca zikir itu. Tetapi sudah hampir sebulan! Namun, tidak sekali-kali dia berasa putus asa. Dia tahu inilah jalan yang terbaik buatnya. Apa yang pasti dia semakin tenang setiap kali duduk berzikir kepada-NYA.

“Sakinah tidur atas lantai ke sepanjang malam semalam?” Wardah memulakan bicaranya.

“Eh, taklah kak. Saya tidur atas sejadah” Sakeena membalas dengan sedikit lelucon.

Ringan sahaja tangan Wardah menampar peha Sakeena, “eei budak ni, orang tahu la atas sejadah…”

“Hehe sorry la Kak Da, saja je nak melawak…boleh kan…?” menyeringai Sakeena memandang Wardah. Lalu kepalanya direbahkan ke pangkuan insan yang kini amat disayanginya. Wardah yang sudah mula memahami karakter adik angkatnya itu membiarkan sahaja. Tangannya perlahan bergerak mengusap rambut coklat keperangan yang panjang mengurai itu. Rambut itu sangat cantik. Ya, sangat cantik seperti itu juga wajah pemiliknya. Rambut lurus yang sebelum ini pernah terdedah itu Alhamdulillah kini bertambah cantik tersembunyi di sebalik hijab iman dan taqwa.

“Alhamdulillah….” Tidak semena-mena keluar kalimah hamdalah itu dari dua ulas bibir Wardah.

Sakeena yang mendengar sedikit kehairanan, segera dipanggungkan kepalanya menghadap wajah Wardah. “Apa? Alhamdulillah? Maksud akak? Keena tanya kak ada plan apa-apa tak hari ni kan...”

“Oh, maaf-maaf… Kak fikirkan pasal Sakinah tadi”

“Ek? Fikir pasal Keena?” tersenyum Wardah melihat gelagat Sakeena.

“Yela… kak seronok tengok perubahan adik akak sekarang” dipautnya dagu Sakeena dan digoyang-goyang wajah itu.

“Ye kan kak, bila difikirkan memang Keena rasa macam tak percaya. Bersyukur sangat…alhamdulillah” "Ya dik...Sakinag tanya kak ada apa-apa tadi? Emm...ada, nak gi pasar pastu petang sikit nak gi ziarah Raudhah" 

"Ye ke, bestnye, rindunya kat sana...boleh Keena ikut sekali?" 

"Mestilah boleh sayang...kalau boleh lain kali tidur tu betul-betul ya, jangan suka tidur  atas lantai, kena jaga betul-betul kesihatan tu..."

"InsyaAllah kak...Keena tak sedar sebenarnya semalam tu...Bila entahnya tertidur" Sakeena jujur sahaja menjawab sambil tersengih. Sebetulnya dia amat menyenangi cara layanan Wardah kepadanya. Sungguh mengambil berat akan dirinya. Sakeena akui itulah yang dia amat dambakan selama ini. Jiwanya sangat gersang dengan belaian kasih sayang insan-insan tersayang. Dan mungkin kerana itulah dulunya dia pernah mudah menjadi kabur dengan huluran kasih dari yang tidak sepatutnya. Ah, jangan diingat lagi semua itu!!!

"Em bila lagi next check-up Sakinah?” pertanyaan Wardah memecahkan lamunannya.

“Emm…...tak ingat la” wajah itu kelihatan berubah sedikit muram.

“Nanti check semula ya tarikhnya, insyaAllah lepas ni kak temankan Sakinah ok”.

Alright…” Ringkas sahaja jawapannya. Suasana terasa hening semula. Hujung minggu begini memang lambat kawasan perumahan yang mereka duduki itu ‘terjaga’. Apatah lagi kedudukan rumah mereka terletak di lorong paling hujung.

“Em… kak nak gi pasar ni, Sakinah nak ikut?”

“Em tak kut….” “Ok kalau gitu Kinah rehat-rehat ya, tak perlu banyak bergerak sangat… tunggu akak balik tau” dicuitnya sedikit hidung mancung Sakeena. Tidak ingin dia biarkan suasana terus-terusan muram. Dia memandang Sakeena lama. Mesti ada sesuatu yang mengganggu benaknya. 'Em, tak apalah. Biar dia tenang dulu' hati Wardah berkata-kata.  


****************



Sakeena bangun dari duduknya setelah Wardah telah keluar ke pasar. Perlahan-lahan dia mengaturkan langkahnya menuju ke tingkap biliknya itu. Dari bukaan tingkapnya dapat dilihat tepi masjid dengan jelas. Rumah sewa kakak angkatnya itu berada di tingkat dua. 





Rumah 4 tingkat yang dibina di atas tanah lot yang agak luas itu sangat besar binaannya yang mana dijadikan oleh tuan rumah 2 buah rumah sewa, 2 buah homestay, dan 3 buah bilik sewa. Tuan rumah yang tinggal di tingkat paling bawah itu sangat baik hati. Sakeena berasa tenang dapat bersama-sama orang yang baik lagi soleh. Tetapi, seperkara yang dia akui adalah hatinya kekadang tetap berkocak dari ketenangan.

Tidak selamanya dia boleh hidup seperti pelarian bukan?

Tidak selamanya dia dapat sembunyikan segala kenyataan bukan?

Tidak selamanya dia harus mengharapkan ihsan insan-insan sekelilingnya bukan??

Pelbagai lagi persoalan yang menujah-nujah benaknya. Persoalan yang tidak perlukan jawapan. Tetapi satu tempelak provokasi yang sering menghantui diri setiap kali dia memandang perutnya yang kian membesar. Ya, ianya kian menampakkan wajah sebenarnya!

Perlahan-lahan tangannya diletakkan ke perutnya. Tidak selamanya dia dapat bersembunyi dari kenyataan sebenar. Dia tahu akan hakikat yang satu itu. Tetapi apakan daya kekadang mindanya tidak dapat dikawal sepenuhnya. Peristiwa hampir dua bulan yang lalu kembali terlayar di fikirannya….


Bersambung….
Baca Intro RRS >> 

Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com

Monday, January 14, 2013

Titisan Embun calleryana -bab 2-




AllahuAkbar..AllahuAkbar..

Azan Maghrib berkumandang membelah atmosfera merah petang hari. Suara seruan itu kedengaran jelas sekali menerombosi pembesar suara yang terletak di tingkat tiga blok Fatimah Az-Zahra. Memalu hati-hati manusia yang dekat dengan-NYA agar segera menyahut panggilan Yang Maha Esa.

Jari jemari milik gadis bermata coklat tua yang tadinya menari lincah di atas keyboard terus tehenti. Document yang diolah lebih dari sejam itu ditekan butang ‘save’ dan laptop ditukar kepada mode sleep

Yusra bingkas bangun. Kerusi berwarna hijau yang didukinya tadi disorong rapat ke meja belajar. Kain tuala kecil yang tersidai di tepi pintu diambil dan diletakkan di atas kepalanya. Bilik air yang terletak bersebelahan biliknya terus sahaja dituju. 

Seusai membersihkan diri dan berwudhu’, dengan pantas Yusra merapikan dirinya. Meyarungkan jubah berwarna coklat gelap dan mengenakan tudung Cempaka berbidang 60 yang berwarna coklat muda dan berlatarkan abstrak bunga-bungaan. Kemudiannya dia meletakkan sedikit bedak talkum dan dua calitan wangian 1 Drop Perfume. Pantas sahaja dia menyiapkan dirinya. 

Kemudian sarung kaki berwarna coklat dicapai. Perkara ini menjadi kemestian buat Yusra sebelum melangkah keluar. Mukena yang tersidai di penyangkut tepi almarinya digapai dan diletakkan di lengan kirinya. 

“Kak Mai, Yusra turun ke surau dulu ya. Anyone calls just pick it up for me yea…” pesan Yusra sambil memakai sarung kakinya itu. 

Alright then..hati-hati..” Kak Maisara membalas dengan senyuman.

*******
Usai sahaja berjemaah di surau Yusra tidak menunggu solat Isyak seperti kebiasaannya. Dia bergegas naik ke biliknya. Di awal-awal semester begini sungguh banyak perkara perlu dicaturkan. Dari hal akademik sehinggalah hal-hal persatuan. Deadline yang diletakkannya sendiri perlu dipatuhi demi kelancaran semua tanggungjawab dipikulnya. Bukan mudah baginya yang sudah tentu amat jauh beza kehidupan pelajar daripada kebanyakan pelajar biasa. Namun, cabaran yang ditempuhinya tidak sesekali dirasakan suatu bebanan. Malah, dia merasakannya sebagai satu anugerah terbesar dari Allah.

Sesampainya di bilik terus sahaja dia membuka tudungnya. Kak Maisarah tidak ada. Tetapi pintu bilik tidak berkunci. Mungkin di tandas la tu gamaknya. Tanpa melengahkan masa lagi punggungnya terus dihenyakkan di atas kerusi. Monitor laptop Acer Aspire 4920 miliknya yang tadi berada dalam keadaan tidur ditegakkan ke atas. Butang power ditekan. Skrin yang dibiarkan tidur sebentar tadi bangun kembali menyalakan dirinya. baru sahaja jarinya ingin mencecah ke atas papan kekunci pintu bilik dibuka. Yusra menoleh sebentar. Kelihatannya Kak Maisarah menjinjit bakul peralatan mandian dan kepalanya berbalut dengan tuala. 

“Eh Yusra, dah balik? Dah tengok phone? Ada mesej rasanya tadi.” 

“Oh ye? Tak tengok pulak lagi, akak dah boleh solat?” Yusra menyoal Kak Maisarah yang sedang membentangkan sejadah.

Kak Maisarah mengukir senyuman di bibirnya, “Alhamdulillah dah boleh ni, baru ja mandi tadi.”

Tidak mahu mengganggu Kak Maisarah yang ingin mengerjakan kewajibannya kepala Yusra dialihkan semula menghadap komputernya. Dokumen yang ditinggalkan tadi dibuka kembali. Perkataan ‘Case Study 1: RAMSAR Management Plan’ terpampang. Tugasan tersebut telah diberikan oleh Dr. Amanda kepada seluruh pelajar kelasnya menerusi Student Learning System (SLS). Baru sahaja tugasan tersebut dimuat naik di SLS petang tadi. Walaupun kelas petang tadi dibatalkan kerana pensyarah tersebut perlu menghadiri satu Konvensyen Alam Sekitar di Putrajaya. Namun, gempar seluruh kelasnya petang tadi dek kerana mesej berangkai yang diterima daripada ketua kelas mereka memberitahu bahawa Dr. Amanda mahu mereka bersedia untuk bentangkan case study tersebut di dalam kelas minggu hadapan! Aduh, terasa berat pula kepalanya. Tidak dapat tidak memang kena siapkan sesegera mungkin tugasan ni. 

Sudah la minggu ni sangat padat jadualnya. Program Daurah Akhlaq Islami (DA’I) akan berlangsung hujung minggu ini. Sudah tentulah berderet-deret mesyuarat penyelarasan program menanti. Ya, setiap malam! Malam ini? Semestinya juga ada. Aduh! Sekali lagi keluhan bergema dalam benaknya. Dia hampir terlupa untuk melihat mesej. Entah-entah mesej mengenai mesyuarat. Yusra menjangkaukan tangannya untuk mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas bantal. Mesej dari Yazid Saifullah. 

Salam ‘alaik Yusra. Enti, meeting DA’I malam ni cancel ya. Ana baru tau ada meeting Perhimpunan Agung pulak. Enti tolong bagitau s/u. Maaf lambat kabo. Ana rush sikit ni. Sebaiknya mintak unit2 buat meeting sendiri terutama pengisian. Kalu bole enti tlg pantau pengisian meeting ya. Meeting keseluruan esok ana nak tau progress. Syukran.

Allah, jam tangannya dilihat. Jarum pendek menunjukkan angka lapan. Manakala jarum panjang angka satu. Alhamdulillah, ada masa lagi ni. Risau pula kalau sudah hampir Isyak. Jika hampir Isyak maka hampirlah juga kepada mesyuarat yang sudah dipersetujui diadakan pada jam 9.00 malam. Tanpa berlengah lagi jari-jemari Yusra pantas menaipkan mesej memaklumkan akan pembatalan mesyuarat. Mesej tersebut dihantarkan secara berkumpulan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) program termasuklah Wahida iaitu Setiausaha program. Kemudian laju jemarinya memaklumkan secara individu kepada Wahida supaya tidak perlu lagi kehadapankan mesej tersebut. Kebiasaannya jika ada sebarang pemberitahuan daripada Pengerusi program iaitu Yazid dia akan maklumkan kepada Yusra sahaja. Kemudian menjadi tugas Yusra untuk maklumkan kepada Wahida. Tetapi dalam keadaan kesuntukan masa seperti ini Yusra tidak berani bertindak begitu. Takut jika Wahida lambat membaca mesej tersebut pula. 

Yusra yang dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Pengerusi bukan hanya bertindak sebagai penolong kepada Pengerusi. Tetapi yang paling penting adalah tugas sebagai pemantau unit-unit penting dalam organisasi mereka. Dia perlu turut sama turun ke dalam mesyuarat unit tersebut dan melakukan brainstorm secara bersama. Unit Pengisian contohnya sangat penting dalam sesebuah organisasi program. Unit tersebut yang rata-ratanya terdiri daripada otai-otai KRI membuatkan Yusra kekadang terasa segan berada dalam kalangan mereka. Pemantau unit tersebut sahaja merupakan pimpinan-pimpinan Lajnah Pembangunan Insan (LPI) bagi KRI. Manakala ketua dan timbalan ketua unit pula merupakan ketua nuqaba’ bagi Intelligent Circle (IC) di bawah LPI. Boleh dikatakan semua ahli unit pengisian program merupakan seniornya! Aduh, Yusra berasa segan sekali. Mujurlah ada Kak Amni dan Kak Salwa yang banyak membimbingnya. Tidaklah terlalu kekok bilamana masuk mesyuarat mereka. 

Sambil menunggu masuknya waktu Isyak Yusra kembali menatap skrin komputernya. Papan kekunci ditekan dan tetikus digerakkan. Masa yang ada walau sebentar perlu digunakan semaksima yang mungkin. Dia tekun mencari bahan dari internet. Paperwork yang berkaitan tajuk tugasan dicari sebayak yang boleh dan kemudiannya semuanya dimuat turun. 

Ketika leka Yusra melakukan pencarian maklumat menggunakan bantuan abang Google, laungan azan yang agak kuat kedengaran melalui corong pembesar suara komputernya. Terkejut jadinya Yusra. Dia terlupa memperlahankan volume komputer. Selang lebih kurang seminit azan daripada surau pula kedengaran. Terus Yusra memberhentikan laungan azan digital yang telah diset dalam komputernya itu. Kemudian dia bangun ingin menuju ke tandas untuk memperbaharui wudhuk. 

Kak Maisarah kelihatan culas sekali lena di atas katil tanpa menanggalkan telekung sembahyangnya. Yusra menggeleng kepala dan tersenyum melihatnya. 

“Kak… dah masuk Isyak ni.” Seraya Yusra mengejutkan secara perlahan teman sebiliknya itu sebelum melangkahkan kaki ke tandas. Kak Maisarah yang baru tersedar terus sahaja bangun dan menggeliatkan sedikit tubuh kurusnya. 

Selesai bersugi dan berwudhuk Yusra kembali ke biliknya. Maisarah kelihatannya masih termangu-mangu di katil.

Yusra mendekatinya dan menggawangkan tangannya di hadapan Kak Maisarah dan menepuk sedikit bahunya lantas berkata “Kak Mai, kenapa?”. 

Maisarah yang sepertinya baru tersedar menghalakan pandangan ke arah Yusra “Aapa apa, Yusra nak gi surau ke? Tunggu akak kejap. Nak gi sekali.” Lantas dia bangun dari duduknya dan terkocoh-kocoh ke tandas. 

“Ok kak, tapi cepat sikit tau.” Yusra sedikit melaung. Sambil menunggu Kak Maisarah, Yusra menghadap komputernya. Dia meneliti semula bahan-bahan yang telah dicarinya sebentar tadi dan memastikan semuanya telah disimpan. Kemudian dia membuat satu folder baru di Desktop komputernya yang bertajuk ‘Ramsar Management’. Semua bahan-bahan yang telah dimuat turun tadi kemudiannya dimasukkan ke dalam folder tersebut agar mudah dia ingin meneruskan kerjanya nanti. 

‘Rasanya sekejap lagi ada mesyuarat unit pengisian ni’. Hatinya terdetik. ‘Baik aku shutdown komputer. Habis meeting boleh sambung balik kerja ni. InsyaAllah…’. Yusra menanam azam dalam dirinya untuk segera menyambung kerjanya selepas pulang dari mesyuarat unit. Setelah Kak Maisarah sudah siap dia menggapai telefon bimbit dan naskhah al-Qurannya. Mereka sama-sama beriringin menuju ke surau kolej kediaman mereka.  

Tuesday, January 1, 2013

Janji Yang Pasti (bab 6)






Tika kaki mereka jejak sahaja di ruang rumah mereka, Jasmin terus bertanya semula dengan riak wajah tidak sabar.

“Hah Qila, tentang apa sebenarnya yang korang serius sangat tadi tu?”

“Awak ni Min…sabar-sabarlah kejap...belum pun sempat kita masuk bilik kan..” Aqilah menyabarkan teman sebiliknya itu sambil membuka pintu bilik mereka dengan kunci yang sedia tergantung di lehernya. Jasmin hanya menyeringai kepada temannya itu menampakkan giginya yang tersusun kemas.

Monday, November 26, 2012

Rindu Yang Menggebu


Assalamu’alaikum..

Kaifa halukum alyaum? Sihatkah? Sakitkah? Bahagiakah? Berdukakah?

Apa pun keadaan kita hari ini di saat ini jangan lupa panjatkan kesyukuran yang teramat tinggi kepada Allah ‘azza wajalla. Biarpun kita sakit, ingatlah dalam kesakitan itu tandanya Allah amat rindukan suara rintihan kita. Jika kesulitan yang dirasa saat ini percayalah bahawa kesenangan dan kemudahan akan tiba jua. Percayalah dan berpeganglah kepada Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6;

Monday, August 15, 2011

Janji Yang Pasti (Bab 5)



Usai solat subuh berjemaah, Aqilah mencapai tiga naskhah kecil yang tertulis Al-Ma’thurat di hadapannya lalu melabuhkan dirinya berdekatan dua orang sahabatnya. Ruwayda dan Hakimah tidak ketinggalan turun ke surau pagi itu.

Mereka mula mengalunkan wirid tersebut dengan membaca Surah Al-Fatihah. Kemudiannya dilanjutkan dengan lima ayat pertama Surah Al-Baqarah, ayat kursiy dan ayat-ayat seterusnya. Alunan secara sederhana yang tidak kuat juga tidak terlalu perlahan itu dilafazkan lancar oleh tiga gadis itu. rutin yang sudah menjadi kewajiban pada setiap pagi bagi mereka.

Sunday, August 14, 2011

Stanza Cinta: Hidup bukan untuk hidup..




Hidup bukan untuk hidup
Hidup untuk Yang Maha Esa
Hidup bukan untuk mati
Mati sebenarnya untuk hidup…

Salam Maghfirah. 

Salam 14 Ramadhan.

Moga kita masih tidak lelah untuk beramal demi merebut cinta Ilahi..

Sahabat-sahabat,


Hidup bukan untuk hidup..

Tuesday, August 9, 2011

Istikharah Cinta Ilahi (Sinopsis)




Nur Insyirah Solehah seorang gadis yang tenang perwatakannya. Sesuai dengan namanya Insyirah yang bermaksud ketenangan. Bagai sentiasa terlukis ketenangan di ruang wajahnya. Biar apa jua yang melanda dirinya tidak akan dibiarkan kekalutan menguasai dirinya. Dia tenang dengan dakapan Rahmat Ilahi..

         Insyirah seorang gadis yang lembut. Wajahnya yang manis dipandang bertambah lembut dengan sepasang mata yang redup kurniaan Yang Maha Agung. Dalam kelembutannya jangan ada yang tersalah sangka bahawa dia seorang yang lemah! Dirinya bukan bahan bulian apatah lagi bahan mainan yang mudah diguling-gulingkan!

Wednesday, July 20, 2011

Janji Yang Pasti (Bab 4)




Mendengarkan itu, Aqilah segera memusingkan kepalanya ke belakang. Melihat jendela yang ditutupi langsir hijau lumut dan bercorak kotak-kotak hijau muda. 

Tidak ada yang janggal pada penglihatannya. Wajah Jasmin ditenung kembali. Keningnya diangkat sedikit. Meminta kepastian. 

“Ada tadi…tadi…” Jasmin menjawab bahasa pandangan Aqilah. Dia masih gugup seperti tadi. Lambat-lambat tuturnya. Wajahnya sedikit pucat.