Sesungguhnya, Orientalis menjadikan diri mereka
sebagai pelopor kepada ilmu Islam dan kajian tentangnya. Kajian mereka hanyalah
mengikut kehendak hati mereka semata-mata tanpa mengambil kira kebenaran kajian
tersebut. Majoriti mereka yang mendokong pemikiran ini bermatlamat untuk
merosakkan Islam dan mendustakan kebenaran yang ada pada agama Islam.
Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts
Tuesday, May 10, 2016
Orientalisme: Tujuan dan matlamat
Matlamat
orientalisme sejak mula-mula penubuhannya adalah untuk melindungi dan
menghalang masyarakat Barat dan Kristian daripada terpengaruh dengan agama
Islam. Mereka memburuk-burukkan agama Islam dan menutup kebaikan yang berkaitan
dengan Islam dan selain itu mereka membuat kajian serta membuat pelbagai
dakwaan yang mengandungi segala dusta terhadap akidah dan syari’ah serta
sumber-sumber Islam. Mereka melakukannya adalah untuk melemahkan pegangan yang
ada dalam diri umat Islam itu sendiri dan berkeinginan untuk mengkafirkan
mereka. Mereka juga menjadi pengikut para penjajah dan membantu mereka untuk
memudahkan operasi jajahan tersebut. Kerjasama antara orientalis dan penjajah
sangat mempengaruhi pergerakan mereka untuk menguasai negara dan umat Islam.
Saturday, May 7, 2016
Orientalisme: Pengenalan
Orientalisme atau dalam bahasa Arabnya disebut
“Al-Istisyraq" adalah ilmu tentang Timur atau hal Ehwal Ketimuran. Secara
jelasnya, ia adalah kegiatan atau pengkajian berhubung dengan ehwal Ketimuran,
sejarah, keyakinan penduduk di sebelah Timur, susun lapis penduduk, lokasi,
persekitaran tabi'enya, bahasa, gaya pertuturan, watak dan syakhsiah mereka. Secara
umumnya, kajian ini menyelidiki aliran pemikiran tradisi dalam pelbagai bentuk,
untuk pelbagai tujuan.
Tuesday, July 9, 2013
Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 3)
Jika dilihat kepada sejarah para Rasul, terdapat banyak
iktibar yang dapat kita ambil. Antaranya, kisah Nabi Isa. Setelah Nabi Isa A.S.
diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit (sebenarnya mereka tidak
dapat menangkap, membunuh dan mensalibnya). Datang seorang yahudi bernama Paul
telah memesongkan ajaran injil yang sebenar. Ada para sahabat Nabi Isa yang
taat setia dinamakan hawariyyin menjadi buruan dan dibunuh. Ajaran yang
menyeleweng inilah yang telah dibawa ke Eropah oleh raja Rom, seterusnya
mengubah kandungan sebenar ajaran ini dengan fahaman keberhalaannya.
Keseluruhan ajarannya tidak ada aspek politik. Dalam
masa yang sama para paderi telah memperalatkan agama untuk mempengaruhi
masyarakat, termasuklah mengumpulkan harta kekayaan di atas nama mengampun dosa
dan sebagainya. Akhirnya berlaku perselisihan di antara istana dan gereja.
Apabila pihak istana lebih kuat, mereka membuat keputusan bahawa pihak gereja
dan para paderinya tidak dibenarkan mencampuri urusan pemerintah (politik).
Bahkan, banyak kitab injil yang diharamkan, hanya empat
sahaja diizinkan. Injil Matthew adalah salah satu yang diizinkan itu dengan
jelas menyatakan secara nas :
“Perkara yang berkait dengan Tuhan terserah kepada Tuhan dan apa perkara yang berkait dengan Raja terserah kepada Raja.”
Hal ini bermaksud agama tidak ada kaitan dengan politik.
Dari segi perkara yang lain ialah pertembungan tamadun kebendaan (material)
barat hasil daripada pengaruh tamadun Islam yang menghasilkan revolusi
industri. Apabila ramai kalangan ilmuan barat yang mempelajari ilmu duniawi di
negara-negara umat Islam yang lebih maju daripada mereka.
Mereka hanya menimba ilmu duniawi tanpa mengambil
Islamnya, pengajian ilmu berlaku sebanyak-banyaknya sehingga berlaku gerakan
penterjemahan ke dalam bahasa barat daripada bahasa arab daripada
berbagai-bagai sudut ilmu. Agama kristian yang tidak mampu menghadapi
perkembangan tamadun Islam yang hebat menjadi sebab berlaku pertembungan di
antara ahli sains dan tokoh-tokoh paderi, berakhir juga dengan pemisahan di
antara kepaderian dan sains.
Gejala tersebut di atas menyebabkan lahirnya
berbagai-bagai teori dan ideologi dalam ilmu kemasyarakatan dalam bidang
politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kecelaruan yang berlaku dalam dunia
hari ini, bermula daripada gejala sosial, kecelaruan politik, penyelewengan
pentadbiran, sehinggalah ancaman keselamatan dan perubahan cuaca adalah tanda
kemusnahan daripadanya.
Firman Allah :
Firman Allah :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ
وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي
عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar Rum:41)
Orang-orang yang beranggapan bahawa
agama tidak mempunyai hubungan dengan urusan politik, yang
sudah mengakar sejak jauh-jauh hari,dan mereka yang menciptakan kebohongan bahawa tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama, yang muncul pada hari-hari kemudian,
justeru merupakan orang pertama yang mendustakan perkataan dan perbuatannya.
Mereka itu justeru seringkali merujuk
kepada agama untuk mengambil darinya suatu perangkat (alat) untuk kepentingan politiknya danmenghadapi
lawan-lawannya. Tidak jarang mereka memanfaatkan orang-orang yang lemah dan tersisih dari kalangan tokoh agama, agar mengeluarkan
fatwa tertentu yang ditujukan kepada orang-orang yang melawan kebijakan politiknya, yang isinya: Ini batil menurut agama dan tidak tepat menurut kehidupan.[1]
Perlu dinyatakan secara terus
terang dan sejelas-jelasnya, bahawa Islam yang benar
seperti yang disyariatkan oleh Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali
jika ia berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari
urusan politik, bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama Budha
atau agama Nasrani atau lainnya.
Dalam masalah politik dalam Islam,
ianya juga boleh disandarkan kepada dalil al-Quran dalam Surah ar-Rum:
2-4 (yang bermaksud), “Telah dikalahkan bangsa Rumawi (yang berpusat
di Konstantinopel),di negeri yang terdekat (terdekat ke negeri Arab iaitu Syria dan Palestina) dan mereka
sesudah dikalahkan itu akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah
urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari
(kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman”.
Inilah merupakan sebuah
ayat politik yang menceritakan tentang isu semasa pada zaman Nabi
s.a.w. Dalam ayat tu menceritakan tentang perang antara Rom dan Parsi
yang merupakan dua kuasa besar ketika itu. Sedangkan kerajaan Rom itu merupakan
kerajaan kafir, tetapi jika diteliti Allah menyampaikan dalil ni bagi memberi
peringatan kepada kita bahawa perlunya ada seni dalam berpolitik.
Politik Islam bukan sahaja bergaul dalam
kalangan Islam sahaja tetapi ianya perlu dikuatkan dengan pertalian kuat dengan
negara kafir yang dapat membantu kita dalam mengukuhkan kedudukan pentadbiran
kita. begitu juga dalam konteks negara kita, perlunya ada satu hubungan politi
yang berwawasan jauh seperti mewujudkan sebuah tahalluf siyasi. Hubungan
politik bersama orang kafir ini bukanlah satu perkara baru, malah ianya merupakan
sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Baginda telah meladeni kepada kita cara
berpolitik secara matang dengan mentautkan hubungan erat dengan orang kafir di
Madinah. Ternyata, praktikal politik Rasulullah s.a.w ini sangat berjaya dalam
mempercepatkan proses negara Islam pertama Madinah diwujudkan.
Jika kita bertindak memisahkan antara politik
dengan Islam ternyata amat rugi bagi kita. Hal ini kerana politik cara Islam
merupakan mainan politik yang terbukti jelas paling hebat dalam sejarah
pentadbiran sebuah negara. Dengan politik cara Islamlah membuatkan penaklukan
demi penaklukan berlaku secara meluas sehingga ke Barat. Amat sayang sekali,
melalui sejarah kita dapat lihat kejatuhan Islam amat merudum sekali apabila
berlakunya kejatuhan kuasa besar sistem Khilafah Islamiyyah di Turki dahulu.
Perkara ini harus menjadi satu iktibar yang besar bagi kita untuk bersatu
semula mengumpulkan sinergi dalam menegakkan daulah Islamiyah.
Monday, July 8, 2013
Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 2)
Hubungan Politik Dengan
Agama
Sama ada agama samawi yang telah
diubah daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau
ideologi politik ciptaan manusia, semuanya menegaskan
bahawa politik tidak ada hubungan sama sekali dengan agama. Ini
membawa maksud bahawa segala urusan agama adalah semata-mata agama sahaja tanpa
melibatkan urusan pentadbiran yakni politik. Oleh itu, dalam
urusan politik, manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu
sendiri tanpa bergantung kepada agama.
Adapun
teori politik ciptaan manusia pula tidak ada kaitan dengan
agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga kalangan yang
mengaitkan politik dengan agama tetapi secara dampaknya agama tidak
boleh mengatasi keputusan politik.
Bagi masyarakat Barat yang menganut
agama kristian, secara jelas mereka mengisytiharkan pegangan mereka kepada
fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada
urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan yang
dipertahankan.
Sebahagian mereka menidakkan agama
dalam perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama
negara tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah di kalangan mereka
ideologi dan teori politik yang jelas, samada mengharamkan
agama secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl
Marx dan pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas,
tetapi politik dibebaska daripada agama seperti yang diamalkan dalam
negara liberal demokrasi.
Apabila Barat menjadi kuasa besar
dunia, maka fahaman ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut
pelbagai agama. Malangnya, dalam kalangan umat Islam juga telah terpengaruh
dengannya samada secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada
tekanan politik globalisasi[1].
Negara Islam dan Negara Harb
Menurut sebahagian ulama, negara harb
ialah negara yang tidak dijalankan di dalamnya hukum hakam Islam dari segi
peribadatan dan politik ekoran kewujudannya adalah di luar lingkungan ketuanan
Islam. Ini termasuk juga mana-mana negara yang tidak berjalan di dalamnya
hukum-hakam Islam meskipun ianya berjiran dengan negara Islam.
Istilah negara harb juga
telah digunapakai ke atas negra kafir iaitu wujudnya peperangan antara negara
tersebut dengan negara Islam.[2]
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili,
beliau menyatakan bahawa: “Daripada definisi kedua-dua negara ini, jelaslah
bahawa yang menjadi pegangan dalam perbezaan status sesebuah negara adalah
kewujudan kuasa dan aplikasi hukum-hakam. Apabila wujudnya kekuasaan Islam dan
hukum-hakamnya maka negara tersebut dikira sebagai negara Islam. Sebaliknya,
jika kekuasaan bukan Islam wujud serta hukum-hakam bukan Islam, maka negara
tersebut dikira sebagai negara harb.[3]
Kesimpulan berdasarkan kepada
pandangan Imam Muhammad bin al-Hasan yang mengatakan bahawa perkara yang perlu
diambil kira dalam menentukan sesebuah negara ialah kekuasaan serta kekuatan
dalam menzahirkan hukum.[4]
Satu perkara yang harus diberi
perhatian adalah maksud negara harb di sisi mazhab Hanafi. Yang mana ianya
tidak terimplikasi melainkan negara tersebut menyerang orang Islam secara
terang-terangan. Secara mudahnya, adanya kemungkinan untuk berlaku peperangan
itu sudah menunjukkan negara itu merupakan negara harb dengan
sendirinya.[5]
Jumhur ulama mazhab Maliki dan
mazhab Syafi’e mengambil kira bahawa tertegaknya syiar-syiar Islam itu
merupakan satu elemen penting bagi menjadikan sesebuah negara itu sebagai
negara Islam atua tidak. Apabila terdapat halangan bagi syiar Islam tertegak dan
hilangnya kekuasaan orang Islam maka sesebuah negara itu juga dikategorikan
sebagai negara harb.[6]
[1]
Ibid, hlm. 19-20.
[2] Al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, jil.1, hlm. 150.
[3]
Indahnya Politik Cara Islam, hlm.38.
[4] Syarh
as-Sair al-Kabir, jil. 4, hlm. 8-10.
[5]
Indahnya Politik Cara Islam, hlm. 39.
[6]
Az-Zuhaili, Wahbah Mustafa, Atsar al-Harb fi Fiqh al-Islami, Damsyik,
Darul Fikr, cetakan: 3, 1983, hlm: 173-174.
Sunday, July 7, 2013
Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 1)
Takrif Negara Islam
Pelbagai takrifan yang kita sedia
dengar mengenai negara Islam. Bahkan, kebanyakan negara yang majoriti
penduduknya beragama Islam pastinya tidak mahu ketinggalan dalam melabelkan
negara mereka sebagai sebuah negara Islam.
Dalam soal ini, banyak pendapat
telah dikeluarkan oleh para ilmuwan. Antaranya, Imam Abu Yusuf dan Muhd
al-Hasan al-Hanafi dan Mazhab Hanafiah secara umumnya mengatakan:
“Sebuah negara di mana Hukum Islam terzahir secara jelas di dalamnya.”
Manakala al-Khatib al-Baghdadi (429
H) menyatakan bahawa:
“Negara yang masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dilaksanakan hukum-hakam Islam, manakala ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.”[1]
Begitu juga selarinya dengan
takrifan yang diletakkan oleh Imam Ibn al-Qayyim iaitu, “Ia adalah negara yang
diduduki oleh kaum muslimin dan terlaksana hukum Islam di dalamnya.”[2]
Jumhur ulama mendefinisikan negara
Islam sebagai: Negara yang didiami oleh orang Islam dan berjalan di dalamnya
hukum-hukum Islam. Manakala negara yang tidak mengamalkan hukum-hukum Islam
bukanlah negara Islam walaupun bertindak menyandarkan hukum-hukum tersebut
kepada hukum hudud. [3]
Daripada beberapa takrifan di atas,
jelaslah bahawa negara yang mendirikan negara berlandaskan syariat yang sebenar
berserta perlaksanaan yang jitu terhadap hukum-hakam Islam sahaja layak
digelarkan sebagai negara Islam. Malah, jika sesebuah negara yang mempunyai
rata-rata penduduk Islam tidak semestinya secara automatik bergelar negara
Islam. Bahkan, ianya boleh digelar negara harb jika syariat Islam tidak
tertegak di sana[4].
Takrif Politik menurut Islam
Perkataan politik berasal
daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama
dalam pelbagai bahasa dunia, samada bahasa Barat atau Timur.
Makna danmaksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan
urusan.
Dalam bahasa Arab ia disebut dengan
perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan -.
Disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,
“Kaum Bani Israil di zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya.” [5]
Manakala menurut istilah para ulama
terdahulu, ianya terbahagi kepada dua:
1. Makna Am: Mentadbir urusan manusia dan
urusan dunia mereka dengan syarat din. Dengan ini, kita dapati mereka
mentakrifkan ‘khilafah’ sebagai;
"نيابة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم في حراسة الدين وسياسة
الدنيا به"
Maksudnya: Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengan berpaksikan agama.
2. Makna Khas: Tindakan-tindakan yang dibuat
oleh imam (pemerintah/penguasa) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk
menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu
langkah pemulihan.[6]
Sebagai misalan, kepelbagaian
tindakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar r.a yang membakar peliwat dan
Umar al-Khattab r.a yang mencukur rambut Nasar bin Hajjaj akibat digilai oleh
perempuan Madinah semasa pemerintaha mereka. Semua tindakan ini berubah
mengikut kepentingan atau maslahat setempat dan zaman. [7]
Manakala menurut asy-Syahid Imam
Hasan al-Banna: ‘Siasah adalah kajian tentang persoalan umat Islam sama ada
dalam dan luar negeri, ia tidak terikat dengan ikatan kepartian semata-mata.” [8]
Perkataan siyasah tidak disebut di
dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara
nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan
"khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada
tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.
Seperti mana yang disebut Allah Ta’ala
dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ
خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menajdikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Sebaliknya,
perkataan siyasah telah digunapakai oleh Rasulullah dalam hadisnya, malah ianya
merupakan perkataan siyasah yang asal mula digunakan:
"كان بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما
هلك نبيّ، وإنه لا نبي بعدي، وسكون خلفاء فيكثرون "
Dahulunya Bani Israil dipimpin oleh para nabi, tatkala wafat seorang nabi maka di belakangnya terdapat nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi nabi selepas aku (Rasulullah) dan diikuti oleh para pemimpin.[9]
Menjadi satu
kepentingan bagi para ulama Islam dalam menterjemahkannya makna politik dalam
kitab-kitab mereka. Ilmuwan Islam seperti Al-Mawardi (kitab Al-Ahkam
al-Sultaniyyah), Ibn Khaldun (kitab Al-Muqaddimah), Abu Ya’la (kitab Al-Ahkam
Al-Sultaniyyah) telah memasukkan perkataan siyasah yakni politik dalam
kewajiban Khilafah dan Imamah:
“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diadakan bagi melaksanakan kewajiban khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dan Ijma’ para ulama.”
Urusan politik termasuk
dalam perkara ilmu feqah dengan bab dan fasal serta furu’nya. Ada
juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama imamah, atau ahkam
sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek ini tidak boleh
dipisahkan di antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah as-Sakandari menyebut dalam
mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan
kata-kata Imam Malik:
“Sesiapa yang bertasawwuf dalam keadaan tidak memahami ilmu feqah, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng aqidahnya) dan sesiapa yang mendalami feqah dalam keadaan tidak mengambil kira ilmu tasawwuf maka dia menjadi fasiq dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”[10]
[1] Usul
al-Din, hlm.270
[2] Ahkam
Ahli Dzimmah, 1/266.
[3]
Ibn al-Qayyim, Ahkam ahli az-Zimmah, jil.1, hlm. 366.
[4]
Lihat Indahnya Politik Cara Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 2013, hlm. 35.
[5] Lihat
Politik dan Agama Mengikut Persepektif Islam, Abdul Hadi Awang, 2011, hlm.
9-11.
[6]
Lihat as-Siyasah asy-Syari’ah, Dr. Yusof al-Qaradhawi, Muassasah
ar-Risalah, hlm. 31.
[7] Indahnya
Politik Cara Islam, hlm. 4.
[8] Mabadi’
al-Usul fi Mu’tamarat al-Khassah, Muassasah al-Islamiyah, 1980, hlm. 104.
[9]
Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibn Majah.
[10] Politik
dan Agama Mengikut Perspektif Islam, hlm. 15.
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Seringkali anak-anak pelajar menghadapi masalah dalam menganalisis potensi diri dalam pembelajaran. Kekadang masalah yang kecil dikat...
-
▶ DOA KETIKA MENGIBAS TEMPAT TIDUR بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا و...
-
Alhamdulillah wa syukur lillah… Hari ini dapat lagi kita merasa segarnya udara memasuki rongga nafas kita. semua ini at...
-
Kebanjiran industri hiburan dewasa kini bagaikan “cendawan yang tumbuh selepas hujan”. Sangat subur. San...
-
Sinopsis Novel Syahadat Cinta “Mahukah kamu menciumku?” “Masya-Allah, kenapa?” “Sebab ciuman adalah bukti kewujuda...