Takrif Negara Islam
Pelbagai takrifan yang kita sedia
dengar mengenai negara Islam. Bahkan, kebanyakan negara yang majoriti
penduduknya beragama Islam pastinya tidak mahu ketinggalan dalam melabelkan
negara mereka sebagai sebuah negara Islam.
Dalam soal ini, banyak pendapat
telah dikeluarkan oleh para ilmuwan. Antaranya, Imam Abu Yusuf dan Muhd
al-Hasan al-Hanafi dan Mazhab Hanafiah secara umumnya mengatakan:
“Sebuah negara di mana Hukum Islam terzahir secara jelas di dalamnya.”
Manakala al-Khatib al-Baghdadi (429
H) menyatakan bahawa:
“Negara yang masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dilaksanakan hukum-hakam Islam, manakala ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.”[1]
Begitu juga selarinya dengan
takrifan yang diletakkan oleh Imam Ibn al-Qayyim iaitu, “Ia adalah negara yang
diduduki oleh kaum muslimin dan terlaksana hukum Islam di dalamnya.”[2]
Jumhur ulama mendefinisikan negara
Islam sebagai: Negara yang didiami oleh orang Islam dan berjalan di dalamnya
hukum-hukum Islam. Manakala negara yang tidak mengamalkan hukum-hukum Islam
bukanlah negara Islam walaupun bertindak menyandarkan hukum-hukum tersebut
kepada hukum hudud. [3]
Daripada beberapa takrifan di atas,
jelaslah bahawa negara yang mendirikan negara berlandaskan syariat yang sebenar
berserta perlaksanaan yang jitu terhadap hukum-hakam Islam sahaja layak
digelarkan sebagai negara Islam. Malah, jika sesebuah negara yang mempunyai
rata-rata penduduk Islam tidak semestinya secara automatik bergelar negara
Islam. Bahkan, ianya boleh digelar negara harb jika syariat Islam tidak
tertegak di sana[4].
Takrif Politik menurut Islam
Perkataan politik berasal
daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama
dalam pelbagai bahasa dunia, samada bahasa Barat atau Timur.
Makna danmaksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan
urusan.
Dalam bahasa Arab ia disebut dengan
perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan -.
Disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,
“Kaum Bani Israil di zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya.” [5]
Manakala menurut istilah para ulama
terdahulu, ianya terbahagi kepada dua:
1. Makna Am: Mentadbir urusan manusia dan
urusan dunia mereka dengan syarat din. Dengan ini, kita dapati mereka
mentakrifkan ‘khilafah’ sebagai;
"نيابة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم في حراسة الدين وسياسة
الدنيا به"
Maksudnya: Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengan berpaksikan agama.
2. Makna Khas: Tindakan-tindakan yang dibuat
oleh imam (pemerintah/penguasa) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk
menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu
langkah pemulihan.[6]
Sebagai misalan, kepelbagaian
tindakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar r.a yang membakar peliwat dan
Umar al-Khattab r.a yang mencukur rambut Nasar bin Hajjaj akibat digilai oleh
perempuan Madinah semasa pemerintaha mereka. Semua tindakan ini berubah
mengikut kepentingan atau maslahat setempat dan zaman. [7]
Manakala menurut asy-Syahid Imam
Hasan al-Banna: ‘Siasah adalah kajian tentang persoalan umat Islam sama ada
dalam dan luar negeri, ia tidak terikat dengan ikatan kepartian semata-mata.” [8]
Perkataan siyasah tidak disebut di
dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara
nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan
"khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada
tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.
Seperti mana yang disebut Allah Ta’ala
dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ
خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menajdikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Sebaliknya,
perkataan siyasah telah digunapakai oleh Rasulullah dalam hadisnya, malah ianya
merupakan perkataan siyasah yang asal mula digunakan:
"كان بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما
هلك نبيّ، وإنه لا نبي بعدي، وسكون خلفاء فيكثرون "
Dahulunya Bani Israil dipimpin oleh para nabi, tatkala wafat seorang nabi maka di belakangnya terdapat nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi nabi selepas aku (Rasulullah) dan diikuti oleh para pemimpin.[9]
Menjadi satu
kepentingan bagi para ulama Islam dalam menterjemahkannya makna politik dalam
kitab-kitab mereka. Ilmuwan Islam seperti Al-Mawardi (kitab Al-Ahkam
al-Sultaniyyah), Ibn Khaldun (kitab Al-Muqaddimah), Abu Ya’la (kitab Al-Ahkam
Al-Sultaniyyah) telah memasukkan perkataan siyasah yakni politik dalam
kewajiban Khilafah dan Imamah:
“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diadakan bagi melaksanakan kewajiban khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dan Ijma’ para ulama.”
Urusan politik termasuk
dalam perkara ilmu feqah dengan bab dan fasal serta furu’nya. Ada
juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama imamah, atau ahkam
sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek ini tidak boleh
dipisahkan di antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah as-Sakandari menyebut dalam
mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan
kata-kata Imam Malik:
“Sesiapa yang bertasawwuf dalam keadaan tidak memahami ilmu feqah, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng aqidahnya) dan sesiapa yang mendalami feqah dalam keadaan tidak mengambil kira ilmu tasawwuf maka dia menjadi fasiq dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”[10]
[1] Usul
al-Din, hlm.270
[2] Ahkam
Ahli Dzimmah, 1/266.
[3]
Ibn al-Qayyim, Ahkam ahli az-Zimmah, jil.1, hlm. 366.
[4]
Lihat Indahnya Politik Cara Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 2013, hlm. 35.
[5] Lihat
Politik dan Agama Mengikut Persepektif Islam, Abdul Hadi Awang, 2011, hlm.
9-11.
[6]
Lihat as-Siyasah asy-Syari’ah, Dr. Yusof al-Qaradhawi, Muassasah
ar-Risalah, hlm. 31.
[7] Indahnya
Politik Cara Islam, hlm. 4.
[8] Mabadi’
al-Usul fi Mu’tamarat al-Khassah, Muassasah al-Islamiyah, 1980, hlm. 104.
[9]
Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibn Majah.
[10] Politik
dan Agama Mengikut Perspektif Islam, hlm. 15.
No comments:
Post a Comment