Monday, July 8, 2013

Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 2)




 
Hubungan Politik Dengan Agama

Sama ada agama samawi yang telah diubah daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau ideologi politik ciptaan manusia, semuanya menegaskan bahawa politik tidak ada hubungan sama sekali dengan agama. Ini membawa maksud bahawa segala urusan agama adalah semata-mata agama sahaja tanpa melibatkan urusan pentadbiran yakni politik. Oleh itu, dalam urusan politik, manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu sendiri tanpa bergantung kepada agama.

Adapun teori politik ciptaan manusia pula tidak ada kaitan dengan agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga kalangan yang mengaitkan politik dengan agama tetapi secara dampaknya agama tidak boleh mengatasi keputusan politik. 

Bagi masyarakat Barat yang menganut agama kristian, secara jelas mereka mengisytiharkan pegangan mereka kepada fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan yang dipertahankan.

Sebahagian mereka menidakkan agama dalam perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama negara tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah di kalangan mereka ideologi dan teori politik yang jelas, samada mengharamkan agama secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl Marx dan pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas, tetapi politik dibebaska daripada agama seperti yang diamalkan dalam negara liberal demokrasi.

Apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, maka fahaman ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut pelbagai agama. Malangnya, dalam kalangan umat Islam juga telah terpengaruh dengannya samada secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada tekanan politik globalisasi[1].


 

Negara Islam dan Negara Harb

Menurut sebahagian ulama, negara harb ialah negara yang tidak dijalankan di dalamnya hukum hakam Islam dari segi peribadatan dan politik ekoran kewujudannya adalah di luar lingkungan ketuanan Islam. Ini termasuk juga mana-mana negara yang tidak berjalan di dalamnya hukum-hakam Islam meskipun ianya berjiran dengan negara Islam.

Istilah negara harb juga telah digunapakai ke atas negra kafir iaitu wujudnya peperangan antara negara tersebut dengan negara Islam.[2]
 
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili, beliau menyatakan bahawa: “Daripada definisi kedua-dua negara ini, jelaslah bahawa yang menjadi pegangan dalam perbezaan status sesebuah negara adalah kewujudan kuasa dan aplikasi hukum-hakam. Apabila wujudnya kekuasaan Islam dan hukum-hakamnya maka negara tersebut dikira sebagai negara Islam. Sebaliknya, jika kekuasaan bukan Islam wujud serta hukum-hakam bukan Islam, maka negara tersebut dikira sebagai negara harb.[3]
 
Kesimpulan berdasarkan kepada pandangan Imam Muhammad bin al-Hasan yang mengatakan bahawa perkara yang perlu diambil kira dalam menentukan sesebuah negara ialah kekuasaan serta kekuatan dalam menzahirkan hukum.[4]  

Satu perkara yang harus diberi perhatian adalah maksud negara harb di sisi mazhab Hanafi. Yang mana ianya tidak terimplikasi melainkan negara tersebut menyerang orang Islam secara terang-terangan. Secara mudahnya, adanya kemungkinan untuk berlaku peperangan itu sudah menunjukkan negara itu merupakan negara harb dengan sendirinya.[5]

Jumhur ulama mazhab Maliki dan mazhab Syafi’e mengambil kira bahawa tertegaknya syiar-syiar Islam itu merupakan satu elemen penting bagi menjadikan sesebuah negara itu sebagai negara Islam atua tidak. Apabila terdapat halangan bagi syiar Islam tertegak dan hilangnya kekuasaan orang Islam maka sesebuah negara itu juga dikategorikan sebagai negara harb.[6]



[1] Ibid, hlm. 19-20.
[2] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, jil.1, hlm. 150.
[3] Indahnya Politik Cara Islam, hlm.38.
[4] Syarh as-Sair al-Kabir, jil. 4, hlm. 8-10.
[5] Indahnya Politik Cara Islam, hlm. 39.
[6] Az-Zuhaili, Wahbah Mustafa, Atsar al-Harb fi Fiqh al-Islami, Damsyik, Darul Fikr, cetakan: 3, 1983, hlm: 173-174. 

No comments:

Post a Comment