Matlamat
orientalisme sejak mula-mula penubuhannya adalah untuk melindungi dan
menghalang masyarakat Barat dan Kristian daripada terpengaruh dengan agama
Islam. Mereka memburuk-burukkan agama Islam dan menutup kebaikan yang berkaitan
dengan Islam dan selain itu mereka membuat kajian serta membuat pelbagai
dakwaan yang mengandungi segala dusta terhadap akidah dan syari’ah serta
sumber-sumber Islam. Mereka melakukannya adalah untuk melemahkan pegangan yang
ada dalam diri umat Islam itu sendiri dan berkeinginan untuk mengkafirkan
mereka. Mereka juga menjadi pengikut para penjajah dan membantu mereka untuk
memudahkan operasi jajahan tersebut. Kerjasama antara orientalis dan penjajah
sangat mempengaruhi pergerakan mereka untuk menguasai negara dan umat Islam.
Terdapat tiga
bentuk tujuan dan matlamat golongan orientalis mengikut kelompok masing-masing
iaitu:
Pertama: Golongan fanatik yang mempunyai rasa dendam
dan permusuhan yang ketara terhadap Islam dan umatnya. Kajian mereka terhadap
Islam atas nama ilmu namun mereka cuba membuat pembohongan di dalam kajian
mereka. Matlamat mereka adalah untuk:
1. Menolak keterangan atau kebenaran
yang menyatakan bahawa Al-Quran diutuskan untuk menunjukkan jalan yang benar
kepada seluruh umat dan mereka juga menolak Islam sebagai agama Allah. Mereka
berusaha membuat bermacam-macam tafsiran yang mengandungi penyelewengan
terhadap wahyu al-Quran.
2. Menyemai kekeliruan terhadap
kemampuan bahasa Arab.
3. Menyemai keraguan tentang nilai
Fiqh Islam iaitu suatu perbendaharaan yang agung.
4. Mengelirukan umat Islam mengenai
kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan menyemai pelbagai prasangka yang tidak benar
terhadap sumbernya hingga menyebabkan ramai yang menafikan kerasulan baginda
dan menyangkal serta membangkang kenyataan yang mengatakan bahawa baginda
menerima wahyu dari Allah S.W.T.
5. Kekeliruan dan penyelewengan terhadap
hadis juga dicipta dan mereka bersandarkan kepada hadis palsu kerana mereka
pada hakikatnya iri hati terhadap hadis Nabi S.A.W yang sangat sempurna dan
kaya dengan khazanah perundangan yang sangat mengkagumkan sedangkan Rasul S.A.W
merupakan seorang yang buta huruf.
Antara mereka
yang tergolong dalam kelompok ini adalah seperti Gold Ziher (1850-1920), J.
Maynard, S.M. Zweimer, G.Von Grunebaum, K. Cragg, A.J. Wensinck, Baron Carra De
Vaux, H.A.R Gibb (1895-1965) dan Alfred Guillaume. Semua antara mereka ini
sangat fanatik dan sangat memusuhi Islam.[1]
Kedua: Golongan yang tidak fanatik. Kegiatan mereka
ini didorong oleh akademik dan ilmu semata-mata. Golongan ini berbeza daripada
golongan fanatik kerana kebanyakan mereka adalah boneka penjajah.[2] Matlamat
mereka adalah untuk:
1. Tujuan politik: Pemerintah memberi sokongan dan dorongan seratus peratus
kepada gerakan ini untuk mendalami dan memahami bahasa, adat, agama dan
sebagainya yang berkaitan dengan Islam. Ini juga bertujuan untuk mengenali dan mengetahui
taktik dan teknik yang membolehkan mereka mendekati, mempengaruhi dan
memonopoli umat Islam.
2. Tujuan Perdagangan: Pada abad ke-19 dan ke-20, faktor perdagangan
menjadi topik utama ketika perdagangan pada waktu itu sedang giat dijalankan.
Mereka dapat memperolehi banyak bahan-bahan mentah dan keuntungan sekaligus
dapat mempelajari dan menimba pengalaman dengan mengenali geografi dan
kebudayaan Timur.
3. Kajian yang dibuat adalah disebabkan tujuan ilmiah semata-mata. Motif
ini timbul ketika zaman perkembangan penulisan dan penerbitan yang mana ketika
itu ia dikenali sebagai abad keemasan orientalis.
Ketiga: Golongan ini mengkaji dan membuat
penyelidikan untuk mencari kebenaran.[3]
Apabila kajian mereka menunjukkan kebenaran yang hakiki mengenai Islam dan ia
menjelaskan kebaikan dan kebenaran yang dibawa oleh Islam itu sendiri
membuatkan mereka tertarik dengan rela hati terhadap Islam lalu terus menganut
agama ini. Antara di antara mereka yang berminat tentang Islam adalah, Jack
Burke, Anne Marie Simmel, Thomas Carlyle, Renier Ginaut, Dr. Granier dan
Goethe.[4]
Orientalisme
menurut Mustafa Al-Siba’ie [5]
dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq (1989), mereka ini sama ada untuk mengacau atau
memutarbelitkan agama Islam melalui penyemaian keraguan terhadap Islam seperti
memalsukan sejarahnya. Kadangkala penulisan mereka mengingkari kitab al-Quran
sebagai kitab wahyu serta mendatangkan keraguan terhadap hadis Rasulullah
S.A.W.[6]
Di Malaysia,
sebelum kita mencapai kemerdekaan, golongan orientalis ini terdiri dari
kalangan pentadbir kolonial British dan mubaligh-mubaligh Kristian.[7]
Antara mereka ialah W.G. Shellabear, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt. Walaupun
penulisan mereka bersifat ilmiah, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Sebahagian
daripada golongan ini telah menyatakan bahawa mereka bertemu dengan kebenaran
setelah mengkaji mengenai Islam antaranya Muhammad Asad, M.M.Pickthall, Maryam
Jameelah, T.B.Irving, Abdul Ahad Daud dan lain-lain lagi. Manakala di antara
mereka juga ada yang bersikap objektif seperti H.A.R.Gibb, A.J. Arberry dan
Arnold Toynbee.[8]
Mereka tidak terlepas daripada melakukan penyelewengan terhadap agama Islam.
H.A.R. Gibb pernah menganggap al-Quran merupakan sesuatu yang sulit, menjemukan
serta bercampur aduk dan tidak teratur. Manakala A.J. Arberry pula meremehkan
hadis dan sunnah.
[1]
Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristianisasi Ancaman Terhadap Ummah,
hlm. 45-48
[2]
Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristiasnisasi Ancaman Terhadap Ummah,
hlm. 40
[3]
Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristianisasi Ancaman Terhadap Ummah,
hlm. 49-50
[4]
Ibid, hlm 50
[5] Kertas
Kerja Orientalis dan Bahaya Gerakan Mereka, hlm. 5
[6]
Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristiasnisasi Ancaman Terhadap Ummah,
hlm. 52-54
[7]
Ibid, hlm. 115-120
[8]
Ibid, hlm. 55-64
No comments:
Post a Comment