Friday, October 7, 2016

Pesona Wanita: Surah Yusuf Ayat 24


وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلا أَن رَّأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاء إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
 Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

TAFSIR

Bilamana nafsu Zulaikha telah menggelegak, Allah SWT dengan rahmatnya telah memelihara Nabi Yusuf.










HURAIAN

Pendapat dan pandangan ulama berbeza-beza dalam hal ini. Telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Mujahid, Sa’id bin Jubair dan sekelompok ulama salaf tentang hal ini, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan yang lainnya. Ada yang mengatakan bahawa yang bermaksud dengan keinginan Yusuf terhadap wanita itu adalah apa yang berdesir di hatinya sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Baghawi, lalu ia menyampaikan hadis daripada ‘Abdurrazzaq, dari Ma’mar, dari Hamam, dari Abu Hurairah r.a ia berkata, Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Allah Taala berfirman, “Bila hamba-Ku berniat untuk berbuat baik, maka tulislah satu kebaikan baginya. Dan bila kebaikan itu dilakukannya, maka tulislah baginya sepuluh kebaikan. Bila ia berniat untuk berbuat jahat, tetapi ia tidak melakukannya, maka tulislah satu kebaikan baginya, kerana ia meninggalkan perbuatan jahat itu kerana Allah, dan apabila ia melakukannya, maka tulislah baginya satu kejahatan.”[1]
Ada yang mengatakan, “Yusuf mahu memukulnya”. Ada juga mengatakan: “Yusuf mengharapkannya (kelak di kemudian hari) sebagai isteri.”

          Adapun tanda dari Rabb yang dilihatnya, terdapat beberapa pendapat. Ibn Jarir mengatakan: “Yang benar, bahawa Yusuf melihat tanda dari Allah yang mencegahnya untuk berbuat apa yang dikehendakinya, boleh sahaja dalam bentuk Ya’qub, atau bentuk malaikat atau juga tulisan yang melarang keinginannya. Tidak ada argumentasi yang pasti yang dapat menentukan tanda dari Allah yang dilihatnya. Jadi, yang benar adalah petanda itu tetap mutlak sebagaimana firman Allah Ta’ala:

كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاء

Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji.

Maksudnya, “sebagaimana Kami memperlihatkan kepadanya tanda yang memalingkannya dari situasi yang dihadapinya, demikian pula Allah menjauhkannya dari perbuatan yang jahat dan keji dalam segala urusannya.”
          
Bagi firman Allah:

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya di sini, termasuk dari hamba-hamba pilihan  dan suci bersih, semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atasnya.[2]

Ayat ini menggambarkan betapa besarnya nikmat seseorang yang dipelihara oleh Allah dari melakukan kejahatan sumbang yang dilarang. Iffah iaitu menjaga diri daripada perzinaan adalah suatu pakaian orang-orang yang mukmin. Ia sentiasa memelihara dirinya daripada kemurkaan Allah. Rasulullah S.A.W bersabda:

لا يزنى الزانى حين يزنى وهو مؤمن

Yang bermaksud: “Tidaklah berzina seorang yang berzina, pada masa itu ia beriman.”

Hadis ini bermaksud seorang yang berzina, pakaian imannya telah terlucut pada masa ia berzina itu. Sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan meninggalkan amalan yang keji itu.[3]

Al-Qur’an menceritakan wujudnya keinginan dalam jiwa Nabi Yusuf terhadap Zulaikha. Perasaan ini sekiranya disifatkan sebagai cinta, ia adalah fitrah kepada seorang yang telah meningkat tahap keremajaannya. Menurut ulama tafsir, perasaan ini tidak wujud pada awalnya tetapi lama-kelamaan, perasaan itu sekan-akan tidak akan dapat dibuang lagi dari dalam diri. Perasaan ini adalah lumrah berlaku kepada semua manusia muda yang terdedah kepada pertemuan yang berulang kali dalam apa jua bentuk interaksi.

Tetapi sesuatu yang buruk juga telah berlaku, buruk ini terlebih-lebih lagi dalam sudut kemasyarakatan kerana mencintai seorang yang bergelar ibu angkat. Dalam erti kata yang lain, Yusuf pada peringkat usia yang meningkat remaja tentulah secara fitrahnya, hati serta perasaannya inginkan kasih sayang yang bersih dan suci tetapi telah dihidangkan dengan sesuatu yang kotor; atau tumbuhnya kasih sayang tadi di celah-celah dua perkara yang baik dan buruk tadi. Maka ia menghadapi suatu kemelut yang dasyhat kerana ibu angkat yang menjadi tempat dia menumpahkan segala pengaduannya mengajak melakukan sesuatu yang amat menghilangkan kesucian jiwa, iaitulah perzinaan yang dilarang sama sekali. 

Jadi, sebagai seorang yang menjaga 'izzah tentulah hatinya amat kecewa hidup dalam keadaan yang seperti ini. Ia tidak mahu melakukan kejahatan yang diajak oleh Zulaikha itu, tetapi dia tidak dapat melarikan dari kehidupan kerana hati yang kecewa ini tentu akan menjadi bertambah luka kepada perempuan yang dihormatinya itu dengan berlakunya rentetan-rentetan lain selepas itu.


Sebenarnya dalam kehidupan yang begitu tertekan, Allah menjelaskan ia tidak membiarkan hambanya yang benar-benar memohon pertolongan dariNya. Namun begitu, Allah SWT sengaja mahu menguji hambaNya itu dengan membuka jalan kebuntuan yang amat-amat ditakuti oleh hamba tersebut melalui cara yang si hamba tersebut perlu lebih tabah lagi dari ujian tersebut. Dalam erti kata yang lain, untuk menemui jalan penyelesaian seseorang hamba itu kepada masalahnya, ia perlulah lebih tabah lagi. Sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian, tidak mustahil ia akan terkorban dalam ujian tersebut. Maka jadilah ia golongan yang tewas.

Menurut ulama-ulama tafsir, ‘burhaana rabbihi’ بُرْهَانَ رَبِّهِ dalam ayat di atas ialah Nabi Yusuf terbayang dan terkenangkan wajah bapanya yang baik dan penyayang itu. Wajah bapanya yang baik soleh itu sentiasa terpampang di hadapan matanya setiap kali diajak oleh Zulaikha supaya melakukan maksiat tersebut. Gambaran bapanya inilah yang menginsafkannya. Sekali gus dengan itu menjadi suatu pendinding yang cukup ampuh memagarkannya dari melakukan kemurkaan Allah SWT itu.



Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com 
Teratak Ilmu,
7 Oktober 2016/ 6 Muharram 1438H


[1] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
[2] Ibn Kathir, ibid.
[3] Hanafi Abdul Rahman, ibid.

No comments:

Post a Comment