وَاسُتَبَقَا الْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى الْبَابِ قَالَتْ مَا جَزَاء مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوَءًا إِلاَّ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu menarik baju
Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan yang
mengoyakkan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada
suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap
isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyeksanya.”
TAFSIR
Perasaan gelora perempuan tersebut yang
menghantuinya telah menyebabkan ia berkejar mengejar Yusuf. Apabila ia tidak
berjaya kerana terserempak dengan suaminya yang secara tiba-tiba sahaja balik
dan berada di muka pintu tersebut. Ia terus menutup kejahatannya itu dengan
menuduh Yusuf yang bersalah. Ia menuduh Yusuf yang menggoda dan mengasarinya.
HURAIAN
Allah Ta’ala memberitakan keadaan mereka berdua
ketika mereka berlumba keluar menuju pintu. Yusuf a.s lari, sedang wanita itu
meminta agar dia kembali ke rumah dan wanita itu dapat memegang baju Yusuf dari
belakang. Sehingga baju Yusuf a.s terkoyak lebar. Ada yang mengatakan, bahawa
bajunya terlepas, dan Yusuf terus berlari sedang wanita itu tetap mengejar di
belakangnya.
Akhirnya, mereka berdua dapati tuan rumah yakni
suami wanita tersebut telah berada di hadapan pintu. Saat itulah wanita itu
berusaha melepaskan diri dengan tipu daya menuduh bahawa Yusuf telah berbuat
tidak senonoh terhadapnya. Ia berkata kepada suaminya;
Yang bermaksud, “apakah balasan terhadap orang
yang bermaksud berbuat serong terhadap isterimu” iaitu berbuat keji. (إِلاَّ أَن يُسْجَنَ) “selain
dipenjarakan”, atau ditahan, (أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ) “atau disiksa dengan azab yang pedih” iaitu
dengan dipukul dengan pukulan yang keras dan menyakitkan.[1]
Dalam menggambarkan jalan keluar dari tekanan
isteri pembesar tersebut yang bakal dilalui oleh Yusuf, al-Qur’an terlebih
dahulu dalam susunan cerita secara kronologinya menggambarkan kemuncak
keinginan syahwat Zulaikha, lantaran beliau adalah seorang perempuan yang
mempunyai kuasa terhadap orang suruhannya Yusuf yang tunduk dan menghormatinya,
Zulaikha telah melakukan satu kekasaran yang melanggar ketatasusilaannya
sebagai seorang isteri pembesar yang sepatutnya mestilah bertingkahlaku halus
dan lembut. Tetapi ujian baru kepada Yusuf sebelum ia keluar dari tekanan
Zulaikha itu ialah siapakah yang akan mempercayainya kerana semua pihak
mengenali Zulaikha dalam bentuk hati, perasaan dan sikapnya sebagai perempuan
yang penuh dengan kelembutan dan penyayang. Dan dengan sifat yang dizahirkan
inilah, kekerasan Zulaikha yang menimpa Yusuf itu berjaya diselubungi pula
olehnya.[2]
Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
Teratak Ilmu, Nilai
7 Oktober 2016/ 6 Muharram 1438H
No comments:
Post a Comment