Tuesday, May 3, 2016

[Hadis] Alam Barzakh: Hadis berkaitan roh di alam barzakh



Beberapa persoalan berkisar mengenai nafs (jiwa) dan roh. Sebahagiannya menganggap roh akan mati kerana ia termasuk dalam kategori jiwa. Ini kerana setiap jiwa pasti akan mengalami kematian. Allah berfirman yang bermaksud:

“Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa”[1]






 [Hadis berkaitan roh di alam barzakh]

          Abu al-‘Izz al-Hanafi berkata, “Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan kematian jiwa adalah ketika ia berpisah dengan badan dan keluar darinya. Adalah satu kekeliruan kalau ada yang menganggap kematian jiwa adalah kematian seperti mana zat mengalami kematian atau roh itu akan hilang dan musnah secara keseluruhan.[2]

          Sesungguhnya roh akan tetap kekal sejak ia dicipta. Ia akan berada dalam kenikmatan atau azab. [3] Allah berfirman yang bermaksud:

“Mereka tidak merasai kematian dalam syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu.”[4]


1. Roh para syuhada

Bukan seluruh roh para syuhada itu dijamin terus masuk ke dalam syurga setelah kematiannya. Hal ini kerana ada suatu tanggungan di dunia ini yang belum selesai seperti hutang dan lain-lain. Sehinggakan roh-roh mereka terpaksa ditahan untuk memasuki syurga. Hal ini diterangkan dalam Musnad dari Abdullah bin Jahsi:

Ertinya: “Bahawasanya ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW kemudian berkata: Ya Rasulullah, bagaimanakah nasibku jika aku terbunuh di jalan Allah? Rasulullah SAW menjawab: tempatmu di dalam syurga. Kemudian setelah orang itu telah pergi, Rasulullah bersabda: kecuali jika ia mempunyai hutang, seperti yang baru sahaja diberitahukan kepadaku oleh Jibril secara rahsia.”

Sebahagian lagi pula ada di antara roh-roh itu yang tertahan di pintu syurga, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang lain:

رَأَيْتُ صَاحِبُكُمْ مَحْبُوسًا عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ
Ertinya:
“Aku melihat kawan kamu sekalian tertahan di pintu syurga”

Di antara roh-roh itu pula ada yang berdiam di pintu syurga, seperti yang disebutkan dalam hadis dari Ibn Abbas r.a:

والشهداء على بارق نهر ببابِ الجنةِ في قبةِ حضراء يخرجُ عليهم رزقهم من الجنة بكرةً وعشِيَّةً

Ertinya: “Para syuhada’ itu berdiam di tepi sebuah sungai yang terletak di pintu syurga di dalam sebuah kubbah hijau. Setiap pagi dan petang dikeluarkan untuk mereka rezeki dari syurga.[5]

          Dalam hal ini ada pengecualian bagi Jaafar bin Abi Talib r.a kerana Allah SWT telah mengganti kedua tangannya yang terputus ketika berjuang di jalan Allah dengan dua buah sayap, sehingga dengan bebas dia dapat terbang di syurga sekehendak hatinya.[6]

          Manakala sebahagian lagi ada roh-roh yang tertahan di dalam kuburnya, seperti yang terjadi dengan seorang pemilik bekas tempat harta rampasan perang yang dicurinya sebelum adanya pembahagian secara rasmi. Kemudian orang tersebut mati syahid. Maka orang banyak pun berkata: “Sungguh beruntung benar nasib orang it, ia pasti masuk syurga.” Tetapi saat itu Rasulullah SAW bersabda:

كَلَّا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي غَلَّهَا لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ فِي قَبْرِهِ نَارًا

Ertinya: “Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, sesungguhnya bekas yang dicurinya itu kelak pasti akan menyala dan membakar dirinya sebagai api di dalam kuburnya.”

2. Roh tingkat rendah

Selain itu, ada juga roh yang terbelenggu di atas bumi dan tidak dapat naik kea lam yang lebih tinggi kerana termasuk dalam golongan roh-roh tingkat rendah yang harus berdiam diri di atas bumi ini.

Jiwa -jiwa yang rendah kedudukannya tidak mungkin sama sekali berkumpul bersama jiwa-jiwa yang besar kedudukannya di dunia ini. Maka demikian juga dengan roh, setelah ia meninggalkan jasad, maka ia akan berkumpul dengan roh-roh sejenis menurut tingkatan masing-masing.[7]




[Kehidupan roh di alam barzakh]

1. Orang-orang yang sudah mati mengetahui kedatangan orang yang masih hidup.
Al-Hafizh Ibnul Qayyim mengatakan bahawa Ibnu Abdil Bar r.a meriwayatkan suatu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما مِنْ مُسْلِمٍ يَمُرُّ عَلَى قَبْرِ أَخِيهِ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا رَدَّ اللهَ عَلَيْهِ رُوحَهُ
حَتَّى يَرُدُّ السَّلَامَ

Ertinya:
“Tidaklah seorang muslim yang menziarah ke kubur saudaranya yang ia kenal masih hidup  dunia kemudian memberi salam kepadanya, kecuali Allh SWT mengembalikan roh si mayat itu hingga dia membalas salam tersebut.”



Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
Rich Kitchen & Khawlah Collection founder
Maktabah Jami'ah 



[1] Ibid, Surah Ar-Rahmaan: 26
[2] Abu al-‘Izz al-Hanafi, Syarah Tahawiyah.
[3] Dr. Aidh al-Qarni, S. Muhammad Husain Ya’qub, Dr. Muhammad A.R. al-Uraifi, op.cit. hlm.154.
[4] Al-Quran, Surah ad-Dukhaan: 56
[5] Hadis riwayat Imam Ahmad.
[6] Hamid Muhammad Al-Abbadi, op.cit. hlm. 70
[7] Ibid, hlm. 71

No comments:

Post a Comment