Wednesday, May 4, 2016

Ringkasan Drama: JASMINE (Slot Zehra TV3)

Drama ‘JASMINE’ membawa kisah seorang gadis bernama Jasmine yang telah terlanjur dengan kekasih zaman remajanya iaitu Ryan. Mereka berdua dibesarkan dengan penuh kemewahan. Jasmine anak tunggal dalam keluarganya. Apa yang diinginkan semuanya dapat. Kecuali satu. Kasih sayang dan perhatian kedua orang tuanya. 

Bapa Jasmine agak mengambil perhatian terhadap dirinya walau dalam keadaan sibuk menguruskan hal syarikat. Namun, ibu Jasmine langsung tidak peduli akan dirinya. Akibat rasa diri diabaikan oleh kedua orang tuanya, Jasmin menagih perhatian daripada kawan-kawan kolejnya. Dia bebas menghabiskan masa bersama mereka, dan dia mula hangat bercinta dengan Ryan.

Pada suatu hari, ibu bapa dan adik Ryan tiada di rumah. Ibu bapanya punya urusan di luar kawasan. Manakala adiknya Irish tinggal di asrama kolej. Ryan mengambil kesempatan itu untuk mengajak rakan-rakannya ke rumah untuk berhibur. Setelah berhibur hingga ke lewat malam, Jasmine tidak pulang ke rumahnya seperti rakan mereka yang lain. Dia tidur di rumah Ryan. Saat itulah semua itu bermula. Mereka terlanjur. Apa yang berlaku adalah dengan kerelaan hati Jasmine. Irish adik Ryan kebetulan pulang ke rumah esok paginya. Dia ternampak Jasmine terkocoh-kocoh keluar dari bilik abangnya. Apabila melihat keadaan abangnya di bilik, tidur tanpa berbaju, dia tahu apa sebenarnya yang berlaku!

Setelah terlanjur, Jasmine seolah-olah baru tersedar daripada mimpi. Bagaimana jika ada hasil dari hubungan intim mereka itu? Adakah dia mampu untuk melalui saat-saat remajanya di kolej dalam keadaan ‘berisi’? Ibu bapanya pasti tidak boleh menerima apa yang berlaku. Jiwa Jasmine kalut. Detik cemas bermula.

Buntu. Jasmine memberitahu hal yang berlaku kepada sahabat karibnya, Opie. Opie terkejut namun dapat mengagak kerana Jasmine dan Ryan terlalu bebas berhubungan. Dia menasihati Jasmine untuk berbincang hal itu dengan Ryan.

Ryan ditemui. Mendengar kerisauan dari Jasmine, Ryan merasa semua itu ‘nonsense’. Mana mungkin Jasmine mengandung dengan sekali berhubungan sahaja. Jasmine kecewa sekali dengan respon Ryan. Sekalipun Jasmine benar-benar mengandung, Ryan tidak bersedia untuk memikul sebarang tanggungjawab di usia muda. Ryan nampaknya tidak tulus mencintainya selama ini. Habis madu sepah dibuang! Jasmine merasa begitu kecewa dan semakin kusut! Bagaimana dia ingin hadapi semua ini seorang diri jika sekiranya dia benar-benar mengandung??



Tidak lama selepas itu, Jasmine pitam dan pengsan ketika di kolej. Opie membawanya ke klinik. Jasmine disahkan hamil! Apa yang ditakutinya selama ini benar-benar terjadi. Jasmine bertambah kusut. Ryan ditemui sekali lagi. Ingin dipujuk untuk bertanggungjawab. Seperti sebelum ini, Ryan tetap tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Malah, Ryan hanya bercakap tentang masa depannya. Tidak mungkin dia korbankan semua demi Jasmine! Jasmine amat kecewa dengan sikap Ryan. Dia hilang punca bagaimana untuk melangkah. Dunianya dirasakan gelap gelita. Dia menjadi semakin murung. Ponteng kuliah, tidak makan dan hanya menangisi dirinya di dalam bilik. Mak bedah pembantu rumahnya cuba untuk mendekati dan menenangkan Jasmine. Jasmine meminta jasa baik Mak Bedah untuk membantunya berubah. Dia sedar dia sudah terlalu jauh hanyut dalam dunia remajanya.

Irish memecahkan tembelang abangnya. Dia memberitahu ibu dan bapa mereka apa yang telah dilakukan oleh Ryan ketika ibu bapanya tiada di rumah. Irish juga memberitahu kemungkinan Jasmine mengandung. Dia dapat menelah pastinya Jasmine mengandung semasa terserempak dengan Jasmine dan Opie di hadapan klinik. Jasmine ketika itu kelihatan pucat sekali. Mendengar pembongkaran Irish, bapa mereka mahu Ryan bertanggungjawab. Namun ironinya, ibu Ryan tidak setuju! Malahan dia membela anak lelaki kesayangannya itu.

Rahsia yang ingin disimpan pasti akan pecah juga. Akhirnya Ibu dan bapa Jasmine dapat tahu apa yang berlaku. Jasmine sendiri mengakui tanpa berselindung lagi. Mereka berang dengan apa yang terjadi. Terutamanya Ibu Jasmine. Dia merasa malu jika geng-geng datinnya tahu kelak. Lalu mereka menggesa Jasmine menggugurkan sahaja kandungannya demi menjaga maruah keluarga. Jasmine tidak bersetuju. Tidak sekali-kali! Cukuplah dengan dosa besar yang pernah dia lakukan. Tak mungkin dia ingin menambah beban dosanya lagi..

Mak Bedah mencadangkan kepada Jasmine untuk tinggal bersama anaknya semasa dalam tempoh mengandung dan melahirkan nanti. Anak Mak Bedah yang dipanggil ‘Kak Su’ oleh Jasmine menetap di Australia bersama suaminya. Jasmine bersetuju dengan cadangan Mak Bedah. Itu sahajalah keputusan yang terbaik buat dirinya dan keluarganya. Dia nekad untuk memulakan hidup baru di sana. Menyambung pelajaran dan membesarkan anaknya di sana nanti. Pemergiannya ke sana diminta oleh Jasmine untuk dirahsiakan terutamanya daripada pengetahuan Ryan dan keluarganya.


Di Australia, Jasmine berkenalan dengan seorang pemuda bernama Khalif. Khalif tahu akan kisah Jasmine melalui Kak Su. 


Pada awalnya Jasmine tidak dapat menerima nasihat dari seseorang yang tidak dikenalinya. Namun lama kelamaan hatinya lunak. Jasmine sentiasa diambil berat oleh Abang Khalifnya. Tidak sekalipun dia ditinggalkan keseorangan. Jasmine merasa tenang dan selamat bersama Abang Khalif. Nasihat dan perhatian dari Khalif membibitkan bahagia di hati Jasmine..


Setelah empat tahun di Australia, Jasmine membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia bersama jantung hatinya, Adam. Tiba di Malaysia, konflik dengan Ryan tercetus semula. Namun bezanya kini Ryan sudah bersedia untuk bertanggungjawab terhadap Jasmine. Dia ingin membina hidupnya bersama Jasmine dan anak mereka Adam.


Hati Jasmine telah lama tertutup untuk insan bernama Ryan. Mana mungkin dia melupakan apa yang telah dilakukan Ryan terhadap dirinya di saat dia sangat-sangat memerlukan Ryan!

Tambahan pula, hatinya kini telah terukir satu nama nan indah, Khalif. Walaupun antara dirinya dan Khalif tidak bercinta, namun bahasa tubuh mereka pastinya tidak dapat menipu. Selama ini mereka saling memendam rasa.

Khalif membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia. Sudah tiba masanya untuk dia serius berhubungan dengan Jasmine. Hasrat hatinya harus disampaikan kepada kedua orang tuanya di kampung. Namun, dalam pada masa yang sama, ibu Khalif teruja mendengar perkhabaran kepulangan anaknya. Mungkin sudah sampai anak lelakinya itu menamatkan zaman bujang. Ibu Khalif bersepakat dengan bapanya untuk meminang anak rakannya, Habibah. Khalif pasti bersetuju dengan pilihannya.

Setelah Khalif tiba di Malaysia, dia terkejut dengan keputusan ibu dan bapanya. Tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Memang selama ini dia banyak mengikuti sahaja permintaan ibu dan ayahnya. Dia anak tunggal. Mereka menatang dirinya bagai minyak yang penuh. Mana mungkin dia menyakiti hati mereka. Namun, keputusan yang satu ini benar-benar merunsingkannya. Dia tidak mampu untuk memenuhi hasrat ibunya nan satu ini.

Khalif berterus terang tentang soal hatinya kepada ibu dan bapanya. Dia mencintai Jasmine. Mendengar hal itu, ibu Khalif tidak puas hati. Bertambah tidak puas hatinya apabila Khalif memberitahu bahawa Jasmine sudah mempunyai anak hasil daripada hubungan terlarang. Berbagai andaian timbul di benak hati ibu Khalif. Perempuan jenis apakah Jasmine ni? Tidak sekali-kali dia merestui hubungan mereka!

Runsing dengan sikap berkeras ibunya. Khalif merasakan perkara ini harus dibetulkan dengan cara lain. Habibah ditemui. Dia berterus terang tentang duduk perkara sebenar. Hatinya sebenarnya sudah berpunya. Habibah menerima seadanya keputusan Khalif untuk tidak meneruskan ikatan janji yang telah dibuat ibu bapa mereka.

Akhirnya ibu Khalif akur dengan keputusan Khalif. Lagipun Habibah dan ibu bapanya bersikap terbuka dalam hal ini. Jadi takkanlah dia mahu berkeras pula.. Namun hatinya masih sukar menerima gadis yang bernama Jasmine itu.


Khalif ingin membawa Jasmine bertemu ibu dan bapanya di kampung. Namun Jasmine memberi alasan tidak bersedia. Dia merasakan seperti didesak oleh Khalif. Jasmine tak mampu untuk berfikir hal perasaannya terhadap Khalif. Tambah pula kekusutan demi kekusutan yang ditimbulkan oleh Ryan semakin menjadi-jadi. Ditambah lagi apabila mendapat tahu ibu Khalif sudah ada calon lain. Hatinya jadi sebu dengan semua itu.

Khalif sedar dia telah berlaku salah kepada Jasmine. Walaupun dia hanya sedikit sahaja mendesak Jasmine, namun dia berazam biarlah itu kali pertama dan terakhir dia berbuat demikian. Jika selama ini dia mampu berlembut dengan Jasmine kenapa tidak kali ini. Kenapa dia harus tergesa-gesa pula. Lalu dia membuat keputusan untuk menyepikan diri dari Jasmine buat sementara waktu. Biarlah keadaan diri Jasmine jernih dahulu. Terlalu banyak masalah bertimpa-timpa dalam hidup Jasmine sejak kepulangan Jasmine ke pangkuan keluarganya.

Kesepian Khalif akhirnya menjentik perasaan Jasmine. Hatinya tidak keruan. Barulah kini dia yakin dengan perasaannya selama ini. Tidak mungkin hidupnya sempurna tanpa kehadiran Khalif di sisi. 


Biarkanlah segala kekalutan yang berlaku dalam hidupnya ini. Hal Ryan yang tak pernah lelah mengejar dirinya dan Adam. Hal rajuk ibunya terhadap bapanya yang bagai tak berkesudahan. Semua itu diletak tepi. Dia harus berjuang untuk cintanya pula!


Kekusutan status hubungan Jasmine dan Khalif selesai juga akhirnya. Ibu Khalif menerima Jasmine dan merestui hubungan mereka. Ternyata dia terlalu ikutkan hatinya dalam berperasangka terhadap Jasmine. Tidak semua yang berbuat dosa terus-terusan tenggelam dalam lautan dosa. Semua orang punya hak untuk berubah. Dan mungkin orang yang berubah setelah berdosa lebih mulia dan lebih dicintai Allah..

Hal rajuk ibu Jasmine pula akhirnya selesai. Ibunya insaf kerana selama ini mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak tunggal mereka. Dia pergi menemui madunya. Meminta maaf atas segala khilafnya..

Ryan pula akhirnya mengalah dengan ketulusan hati dan cinta Khalif terhadap Jasmine. Sikap Khalif yang sentiasa berhemah dalam apa jua tindakan itu tidak ada pada dirinya. Dia akur dirinya terlalu banyak yang kurang. Dia ingin menjadi seorang bapa yang baik terhadap Adam. Dia harus berubah.

Akhirnya, cinta tulus Jasmine dan Khalif bersatu dalam akad pernikahan yang suci…  

Happy ending… The end ^_^


Srikandi Al-Azwar
Baiti Jannati


Pelakon: Nelydia Senrose, Aqasha, Gambit Saifull, Puteri Aisyah, Aedy Ashraf, Shakilla Khoriri, Aleza Shadan, Afifah Nasir, Zarynn Min, Adam Mika, Rahim Jailani, Zila Bakarin, Khaty Azian, Zalfa Zin

WATAK PELAKON
Nelydia Senrose sebagai Jasmine
Aqasha sebagai Khalif
Gambit Saifullah sebagai Ryan
Afifah Nasir sebagai Tina
Zila Bakarin sebagai Ibu Jasmine
Puteri Aisyah sebagai Irish (adik Ryan)
Aedy Ashraf sebagai Kepeng
Shakilla Khoriri sebagai Opie
Aleza Shadan sebagai Datin Mastura (Ibu Ryan)
Adam Mika sebagai Adam
Khaty Azian sebagai Hajah Kalsom (Ibu Khalif)
Zalfa Zin sebagai
Habibah

  

No comments:

Post a Comment