Monday, January 28, 2013

Lantunan Mahabbah Rasulullah



Alhamdulillah wa syukur lillah…

Entri kali ini adalah travelog tarbiah saya. Bersama kita hayati sebentar.


Dua hari yang lalu dapat juga saya merasa duduk bersama dalam satu majlis yang cukup indah. Iaitu majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Stadium Suka Menanti, Alor Setar. Majlis yang berlangsung selama 3 hari 3 malam itu sangat indah sekali pabila dihiasi penuh dengan majlis-majlis ilmu dan juga lantunan-lantunan qasidah. Dan malam Ahad tersebut merupakan malam terakhir. Subahanallah, terasa seperti berada dalam taman syurga dengan hadirin yang rata-ratanya berpakaian serba putih. Indah sekali!

Subhanallah… MasyaAllah…

Imam Syafie rahimahullahu Ta’ala pernah berkata;

“Aku mencintai orang-orang soleh sekalipun aku bukan sebahagian daripada mereka, aku berharap mendapatkan syafaat dari mereka. Aku benci orang yang gemar melakukan maksiat, sekalipun aku juga pernah melakukannya.” 
Hati ini dibaluti dengan satu perasaan bahagia. Terasa indah sungguh dapat bertemu mata dengan Tuan Guru-Tuan Guru yang amat saya rindui selama ini yakni Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki. Tambah pula rasa teramat teruja bilamana dapat jua melihat secara ‘live’ Syeikh Zainul Asri Haji Ramli di sana. Alhamdulillah…AllahuAkbar!!! Allah makbulkan jua permintaan hati kecil ini akhirnya… Terima kasih ya Allah… Daku teramat gembira!

##Untuk lihat rakaman majlis antum boleh stream di: http://www.ustream.tv/recorded/28818922


Video streaming by Ustream


Sematkan kecintaan dan kerinduan kepada baginda Rasulullah


Dari Anas radhiallahu anhu, dari Nabi shallallahu alaihi wasalam, bahawasanya baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan segenap umat manusia." (Muttafaq Alaih)

Sahabat-sahabat, paling tidak jika kita tidak dapat mengingati atau membayangkan baginda Rasulullah sekurang-kurangnya usahakanlah untuk tidak mengecewakan baginda. Lihatlah amalan-amalan seharian kita. Adakah sudah benar-benar santun dan jauh dari kecelaan?

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat mulia! Budi pekerti baginda amat menambat hati seluruh isi alam. Malah kemuliaan baginda menandingi seluruh para Nabi dan Rasul. Nama baginda Rasulullah “Muhammad” itu sudah lama terletak dan terpampang di samping nama Allah di langit sana. Subhanallah…
          
Tambahan lagi Allah pernah berfirman kepada Nabi Adam a.s dalam satu hadis Qudsi yang mafhumnya:

“Kalau bukan kerana Muhammad, Aku (Allah) tidak akan ciptakan kamu (Adam). Kalau bukan kerana Muhammad juga Aku tidak akan jadikan syurga dan neraka.”

Subhanallah… MasyaAllah…

Sungguh tinggi kedudukan baginda di sisi Allah. Sehinggakan Allah dan para Malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda. Allah… kita bagaimana pula? Selalukah meniti di bibir kita selawat ke atas baginda?

Para Nabi dan Rasul memperakui kemuliaan baginda Rasulullah. Malah, menjadi umat Muhammad itu punya 1001 kelebihan. Kerana mulianya baginda di sisi Allah umat Muhammad s.a.w juga mendapat tempiasnya. Disayangi dan diberi kelebihan yang banyak berbanding umat-umat Nabi yang lain. Lantas kita bagaimana? Tidak terasa bangga dan terujakah dijadikan umat baginda Rasulullah?


Pengakhiran, lenturlah hatimu…

Wahai Purnama... Wahai Purnama…

Yang indah lagi sempurna…

Bagaimana… Bagaimana…

Nak kuluah dengan kata-kata…

(petikan dari bait qasidah)

Sungguh. Sungguh tak dapat nak dliuah dengan kata-kata. AllahuAkbar! Terasa syahdu pabila melantunkan bait-bait qasidah bersama sekalian hadirin dalam dewan nan indah tersebut. Memang benarlah bilamana kita berada dalam kalangan orang-orang soleh di dalam satu majlis ilmu nescaya hati kita menjadi sangat kuat mengingati Allah dan baginda Rasulullah… Subhanallah! Indah sekali… Tidak terucap dengan kata-kata ini… Andailah Rasulullah bersama-sama kita saat itu… Tentu sekali baginda tersenyum gembira melihatkan penyatuan umat-umatnya. Duhai Rasulullah, walau engkau tidak bersama kami tika ini aku teramat yakin bahawa engkau mendengar rintihan rindu kami. Syafa’atkanlah kami…

Wahai para muhibbin…

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah… marilah sama-sama kita menyematkan baginda dalam hati kita. letakkan seluruh rasa cinta kita buat baginda Rasulullah. Nescaya kita akan mendapat cinta daripada Allah. Moga dengan kita mencintai baginda dan mengikuti segala sunnah baginda membuatkan baginda kenal akan kita di akhirat kita. Seterusnya melayakkan kita untuk mendapat syafaat daripada baginda. Bukankah itu yang kita idam-idamkan selama ini…



Salam Mahabbah Rasulullah…

Srikandi Al-Azwar,
15 Rabi’ulAwwal 1434H/ 27 Januari 2013
Baiti Jannati

Thursday, January 24, 2013

LISTEN! Bawani vs Sharifah Zohra: Sebuah Perspektif Berbeza




Salam Maulidur Rasul.

Pergolakan perjuangan mahasiswa tidak pernah reda. Apa yang diperjuangkan oleh aktivis mahasiswa? Perjuangan hak asasi, perjuangkan kebenaran dan perjuangan keadilan sejagat. Itulah antara perjuangan terbesar mahasiswa. Selagi semua itu masih dijunam-junamkan oleh pihak tertentu maka perjuangan mahasiswa tidak akan pernah henti. 


Seperti mana yang kita maklum. Sejak isu LISTEN! LISTEN! LISTEN! (banyak kali LISTEN!) yang telah tercetus baru-baru ini dalam satu forum “Seiringkah Mahasiswa dan Politik” diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah kelolaan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) banyak sekali komentar dan ulasan yang kita lihat. Dari akhbar-akhabar internet, blog-blog sehinggalah Youtube dan sebagainya. Rata-rata tidak mahu ketinggalan dengan isu ini. 



 Kepada yang tidak tahu hujung pangkal silakan tengok video di bawah ini dahulu.





Gempak memang gempak! sehinggakan pelbagai respon dari variasi pihak sudah kita dengar dan lihat. Namun, satu sahaja yang saya nanti-nantikan sebenarnya. Iaitu respon dari pihak kerajaan.


KPT nafi brainwash pelajar IPT

Sebagai bekas aktivis mahasiswa, saya turut sama merasa seperti ditekan-tekan dan dihenyak-henyak apabila melihat insiden ini. Ianya sangat mengecewakan! Bukan kerana tidak menjangka perkara seperti ini berlaku malah perkara inilah yang selalu sangat berlaku dalam kalangan mahasiswa. Tetapi yang membuatkan saya rasa kecewa dan malah saya pasti seluruh aktivis mahasiswa turut kecewa adalah bagaimana isu ini ditangani terutama dari pihak kerajaan. Insiden ini sudah lama berlaku (8 Disember 2012 lagi) namun ianya seperti sengaja dipetibesikan!
  
 
Tidak ingin mengulas panjang tentang peristiwa LISTEN tersebut. Namun, setelah sekian lama menanti, akhirnya! Dato’ Seri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, membuat juga ulasan ringkas di Berita jam 4 petang di TV3 kelmarin (22 Januari 2013). Hal ini membuatkan saya betul-betul terpanggil untuk turut sama turun padang merespon isu ini. Beliau mengatakan bahawa forum yang diadakan di UUM tempoh hari bukan tujuan untuk ‘brainwash’ dan tidak berniat mengongkong hak bersuara pelajar IPT. Just it, sangat ringkas dan tidak seperti yang diharapkan. 

Amat kecewa sekali bilamana isu ini hanya ditongsampahkan. Sepertinya tidak ada nilai langsung di mata kerajaan dan seolah-olah terlalu angkuh untuk memberi sebarang respon berkenaan isu ini. Saya fikir isu ini bukanlah satu isu yang sangat ‘kanak-kanak’ kerana hakikatnya banyak pihak mengambil berat akan isu ini. Ianya bukan isu politik tetapi isu hak bersama. Kenapa kes ini cuba dipejam sebelah mata oleh pihak berwajib. Adakah mereka menunggu masa mahasiswa mencetuskan kembali suasana hangat seperti sebelum ini di Dataran Merdeka? Atau adakah mereka sudah terlalu kebal dengan segala persediaan untuk menangani segala kemungkinan yang ada?

Inilah yang selalu menjadi permasalahan apabila setiap kali adanya mahasiswa yang berani ke hadapan kemudiannya mahasiswa kembali ditekan dan akhir sekali di’gantung’. Seolah-olah itulah jalan ‘terbaik’ yang hanya ada bagi ‘mendengar’ suara mahasiswa. Sepertinya tidak ada solusi yang lebih baik. Isu demi isu yang pernah tercetus sebelum ini sebaiknya dijadikan iktibar bersama. Kebanyakannya cuba memandang enteng. Sedangkan saya amat yakin mahasiswa merupakan 3rd force dalam sesebuah negara. Suara mahasiswa bisa menggegarkan rakyat sekaligus kerajaan!

Respon Pasca insiden:

Usaha mengadakan forum ilmiah ini saya dokong. Namun, tetap merasa kecewa kerana ianya tidak mendapat partisipasi pihak kerajaan.

Konklusi juga peringatan bersama

Hanya satu pesanan saya kepada semua pihak terutamanya kepada pihak university dan kerajaan, mahasiswa tidak akan pernah mati rantaian perjuangannya selagi ilmu dan pengetahuan itu menjadi tunggak pedoman. Jangan kerana agenda ‘poket sendiri’ kita takut untuk berhadapan dengan mahasiswa yang punya daya intelek. Hadapilah mahasiswa dengan metod yang sama iaitu intelek. Segala persoalan pokok yang dilontarkan mahasiswa seharusnya diberi respon yang baik. Jika ada sebarang hujah maka hujahkan kepada mahasiswa secara ilmiah. Jangan ajar mahasiswa dengan cara ‘halus’. Kerana ianya tidak cukup halus untuk mencucuk hidung dan mengkuda-kudakan mahasiswa. 

Nasihat bagi pihak-pihak penganjur program pula, mahasiswa sudah terlalu biasa dengan agenda ‘brainwash’ ini. Sehinggakan sudah menjadi lali. Tidak kisahlah agenda apa yang anda ingin ketengahkan tetapi above all ingatlah mahasiswa bukan golongan yang mudah disogok. Kenyataan anda dan respon anda dalam mendepani mahasiswa haruslah dengan cara professional. Jangan sampai ‘jawapan’ anda kepada setiap persoalan yang dilontarkan menjadi persoalan kembali di benak mahasiswa. Itu bermaksud jawapan anda tidak berkualiti dan tidak punya asas yang kukuh. Kelak pasti anda akan mendapat label-label kutukan kembali (seperti yang kita lihat dihadapi oleh Sharifah Zohra) berdasarkan kata-kata yang keluar dari mulut anda sendiri. Justeru, jangan sampai tindakan anda memperlekehkan kredibiliti anda sendiri. 

Setiap kata-kata anda menjadi perhatian ramai. Berhati-hatilah.

Ini adalah salah satu contoh bagaimana anak muda generasi-Y kini melabel seseorang. Kerana mulut badan binasa. Padah apabila memberi respon yang tidak kena mengena.

Khas buat saudari Bawani, anda memang berani! Apa yang menimpa anda itu memang lumrahnya. Saya juga pernah berhadapan dengan situasi listen! listen! listen! ini. Memang 'panas' rasanya bilamana apa yang kita cuba sampaikan disekat-sekat. Last sekali memang terpaksa mengalah. Kerana apa? Kerana masih ada perasaan hormat dan malas hendak bertegang leher. Namun apa pun, bagi saya apa yang anda lakukan pada insiden itu memang patut. Anda bukan meninggikan suara. Apatah lagi cuba melawan cakap. Cumanya, diharap dapat lebih berhati-hati dan lebih berhemah ketika melontarkan sesuatu. Api jangan lawan dengan api. Tetapi siramlah api dengan air..

Akhir sekali, kepada aktivis-aktivis mahasiswa pula terutama aktivis mahasiswa Islam, teruskan semarak perjuangan kalian. Namun, perlu disemat dalam diri anda bahawa semangat yang didahului dalam segala hal tanpa pertimbangan akal yang sihat (ilmu pengetahuan) ibarat api tanpa cahaya. Jangan  biarkan anda tenggelam dan dibawa hanyut semangat. Gunakan sebaik-baiknya kebijaksanaan anda. Jangan sesekali culas di medan juang kerana tidak selamanya anda bergelar mahasiswa. Hakikatnya, medan sebenar perjuangan sedang menanti-nanti kehadiran anda di luar sana. Seeru ‘ala barakatillah…



Srikandi Al-Azwar,
Baiti Jannati,
12 Rabi’ul Awal 1434H/ 24 Januari 2013


Tuesday, January 22, 2013

Kenali Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M)



Kepada muda mudi, mahasiswa mahasiswi dan sesiapa sahaja yang cakna perkembangan semasa terutama menerusi internet pasti rata-ratanya sudah familiar benar dengan SW1M ini. Sebelum ini saya sendiri sepertinya tidak perasan akan kewujudan organisasi ini. Tetapi sejak meletusnya isu “LISTEN! Bawani vs Sharifah Zohra” di media sesawang diri ini terpanggil untuk kenal SW1M lebih dekat.

Sedikit info mengenai SW1M:

Pertubuhan SW1M yang ditubuhkan sekitar Januari-Febuari tahun lalu ini bertujuan untuk memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak.


SW1M dikatakan dapat membantu wanita dengan mendengar masalah mereka, termasuk kes-kes penderaan domestik, dimana organisasi tersebut kemudian menyerahkan kepada Perdana Menteri dalam bentuk memorandum. Tambahan lagi organisasi SW1M ini juga dilihat sebagai “NGO untuk BN” akan tetapi ahli organisasi tersebut mendakwa bahawa mereka bebas dan “tidak mewakili mana-mana parti politik”.

Slogan “1 Malaysia” dalam nama organisasi tersebut dipilih atas beberapa faktor. Antaranya adalah kerana mereka “menghormati” Perdana Menteri kita Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Antara peneraju utama SW1M ini adalah: Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin (Presiden) dan saudari Emalee (dikenali sebagai Ratu Naga) yang bertindak sebagai pentadbir halaman facebook bagi SW1M.



Pandangan saya, apa pun pertubuhan yang diwujudkan semestinya mempunyai misi dan visi yang jelas. Segala VMO yang bagus jika dijalankan dengan sebaiknya pasti memberi impak yang positif kepada seluruh masyarakat. Tambah pula bilamana ianya punya kolerasi yang kuat dengan pembangunan wanita maka ianya sangat baik sekali. Tetapi sayang seribu kali sayang jika agenda “besar” kita telah dikaburkan dan diruntuhkan dek kerana agenda “sampingan”. Maka dari situ masyarakat sekeliling semestinya sudah mula celik akan hakikat sebenar. Sejauh mana penafian agenda “sampingan” kita sebelum ini kini sudah jelas lagi terang. Justeru itu, pihak yang berkenaan harus ambil iktibar dan mencari solusi terbaik. Jangan diam sahaja dan berlaku tidak professional.