Murid-murid yang kurang cemerlang dalam
pelajaran selalunya mempunyai persepsi negatif pada diri sendiri malah juga pada orang di
sekeliling. Hal ini kesan daripada situasi negatif yang mereka terima saban
hari secara pengulangan. Sebagai contoh, pelajar corot seringkali tidak
melakukan kerja sekolah dengan lengkap. Ganjaran yang mereka seringkali terima
apabila berkelakuan sedemikian adalah mendapat kata-kata negatif daripada
sesetengah guru ditambah pula menerima hukuman seperti berdiri di atas kerusi.
Ketika waktu pembelajaran bersama saya, apabila
ditanya tentang kerja sekolah hari sebelumnya, ada pelajar yang terus berkata
“Cikgu, saya berdiri di atas kerusi ya, saya tidak siap kerja sekolah”. Keadaan
ini nampak agak membimbangkan kerana apabila pelajar itu sendiri menawarkan
diri untuk menerima hukuman tanpa ada rasa malu dengan rakan sekelas ini
menunjukkan bahawa dia sudah terbiasa menerima hukuman. Lebih membimbangkan,
apabila pelajar sudah hilang rasa malu, pelajar itu berkemungkinan besar sudah
tidak endah dengan segala bentuk dorongan ke arah positif kerana sikap negatif
lebih mendominasi diri.
Apa yang menjadi telahan saya ini terbukti
benar apabila pelajar corot yang sudah hilang rasa malu dengan rakan sekelasnya
ini seringkali mengulangi perbuatan negatifnya, iaitu tidak membawa buku
pelajaran, mengajak rakan-rakan sekelas bermain ketika guru berada di dalam
kelas dan tidak memberi tumpuan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Kegagalan ibu bapa dan guru dalam memumpuk sikap positif dalam diri pelajar
tersebut memberi ruang yang besar sikap negatif tertanam.
Bertepatan seperti yang ditekankan oleh imam
Al-Ghazali, dalam menegur anak, ibu bapa atau pendidik hendaklah tidak terlalu
banyak mengeluarkan kata-kata celaan. Kanak-kanak yang selalu dicela akan
menjadi terbiasa dengan celaan itu. Dia akan berani melakukan kesalahan dan
segala bentuk nasihat tidak memberi kesan. Inilah apa yang sering menjadi permasalahan, pelajar bermasalah sukar menerima
nasihat. Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan orang di sekeliling tidak
memberi peluang kepada mereka untuk memupuk sikap yang baik.
Dalam pengurusan pelajar lemah serta bersikap
negatif sebenarnya perlu lebih banyak didorong dengan situasi-situasi yang
positif. Segala kata yang dikeluarkan orang di sekeliling haruslah lebih
berbentuk galakan semangat. Hal ini kerana saya amat yakin keadaan yang konsisten
positif akan membantu kanak-kanak mempelajari cara bertingkah laku positif.
Berbalik kepada teori pelaziman, sesuatu yang diulang-ulang dilakukan pasti
mampu membentuk sikap seseorang. Justeru, saya ingin datangkan beberapa kaedah
yang boleh dugunapakai dalam menghadapi kanak-kanak yang kerap hilang tumpuan
antaranya adalah;
a) kerap menyebut nama mereka
Seperti
yang disentuh sebelum ini, nama merupakan salah satu elemen pujian secara tidak
langsung. Cukup dengan sering memanggil nama mereka dengan nama penuh, lebih
mudah mereka arahkan perhatian kepada kita. Cara memanggil nama mereka pula
hendaklah dalam keadaan yang baik. Tidak menengking. Sekalipun ingin memanggil
nama mereka untuk memarahi mereka panggillah dalam nada yang tegas.
Semakin
kerap kita menyebut nama mereka semakin merasakan perhatian sering diberikan
kepada mereka. Ditambah pula dengan kata-kata pujian ini akan lebih menaikkan keyakinan
diri bahawa mereka adalah insan yang dihargai dan baik.
b) kerap memuji hasil kerja mereka
Seperti
yang kita tahu, kanak-kanak yang sering hilang tumpuan ini amat sukar memberi
tumpuan dalam sesuatu perkara. Justeru, amat penting untuk kerap memuji hasil
kerja mereka. Walaupun hasil kerja mereka tidak sampai piawaian yang kita
tetapkan hargailah ia. Susah payah mereka membuat sesuatu perkara itu
menunjukkan ada minat yang tinggi dan ada perhatian yang bersangatan di situ.
Sebagai
contoh yang saya hadapi sendiri dengan pelajar kelas corot. Apa yang saya
dapati adalah, mereka juga punya daya usaha untuk melakukan lebih baik dan
lebih baik. Dengan sering memuji hasil kerja mereka, saya dapati mereka
berlumba-lumba untuk siapkan lebih cepat dan lebih kemas. Perasaan keterujaan
untuk belajar bukan senang dipupuk dalam kalangan mereka melainkan dengan selalu
memberikan kata-kata positif kepada mereka.
c) kerap mendekati mereka
Mendekati pelajar yang lemah dapat menaikkan semangat mereka untuk belajar |
Akhir sekali, amat penting untuk mendekati kanak-kanak seperti ini. Dekatilah
mereka dengan cara berbual-bual dengan mereka. Ini akan memupuk minat mereka
untuk bercerita. Dari situ insyaAllah akan lebih mudah untuk mereka mengikut
arahan yang kita berikan kepada mereka.
Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
12 Rejab 1437H
Baiti Jannati
No comments:
Post a Comment