Wednesday, April 23, 2014

AL-IBTILA' (Bahagian 4)


Bagaimana menghadapi ibtila’?

1.                  Mengucapkan kalimah istirja’

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
{iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-NYA lah kami kembali)}[1]

Seringkali kita mendengar ucapan kalimah ini apabila adanya kematian. Sayang sekali tidak ramai yang mempraktikkannya dalam segala hal musibah yang melanda. Sakit, berita kemalangan, terjatuh barang dan sebagainya sepatutnya kalimah ini yang meniti di bibir terlebih dahulu berbanding melatah yang tidak sepatutnya.



2.                  Bersyukur

Dalam surah Ibrahim ayat 7 Allah berfirman:
                                                                    
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
{Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan "sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka pasti azab-KU sangat berat}

Apabila kita ditimpakan ujian seringkali kita lupakan segala nikmat yang pernah Allah kurniakan kpd kita. Dengan sedikit ujian kekadang buatkan kita cepat mengeluh. Kita lupa untuk bersyukur.

3.                  Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah

Ada insan yang apabila ujian menimpa dirinya dia semakin jauh dari Allah. Kenapa? Kerana dia tidak benar-benar dekat dengan Allah. Dirasakannya ujian yang menimpa itu membebankan dirinya. Dirasakan doa dan pengabdiannya selama ini tidak pernah dimaqbulkan. Lalu dia kecewa dengan Allah. Ujian bukan mendekatkan dirinya kepada Allah tetapi menjauhkan!

Tetapi, begitulah hakikatnya manusia ini seperti mana dikhabarkan Allah dalam surah Al-Ma'arij:
إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا ﴿١٩﴾ إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا ﴿٢٠﴾ وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا ﴿٢١﴾ 
{Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpakan kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan (harta) dia jadi kikir}[2]


إِلَّا الْمُصَلِّينَ ﴿٢٢﴾ الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ ﴿٢٣﴾
{Kecuali orang-orang yang melaksanakan solat, mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya..}[3]

Inilah antara kunci bagaimana kita menghadapi ujian dari Allah. Sentiasa mengabdikan diri kepada Allah biar berkali-kali tersungkur dilanda ombak dunia. Jika akrab hubungan kita dengan Allah pasti kita akan sentiasa bersabar dan bersukur atas segala ujian yang menimpa kita. Biarlah berat ataupun ringan kita sentiasa Redho denganNYA. Bukankah ujian yang sangat hebat telah menimpa Nabi Ayub a.s? Bagaimana Nabi Ayub tidak sekalipun mengeluh. Malah Nabi Ayub berdoa dengan penuh tertib:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
{Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “Ya Tuhanku, sungguh aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang.”[4]

Nabi Allah Ayub a.s hanya mengadu rasa sakitnya, dia tidak pun meminta secara terus supaya Allah sembuhkannya. Subhanallah, Maha Suci Allah..tinggi sekali tahap kesabaran dan pengabdiannya.

Nasihat dari Ibnul Al-Jauzi Rohimahullah Ta’ala:
“Orang yang ditimpa ujian dan hendak membebaskan diri darinya, hendaklah menganggap bahwa ujian itu lebih mudah dari apa yang mudah. Selanjutnya, hendaklah membayangkan pahala yang akan diterima dan menduga akan turunnya ujian yang lebih besar. Perlu diketahui, bahawa lamanya waktu ujian itu seperti tamu yang berkunjung. Untuk itu, penuhilah secepatnya apa yang ia perlukan, agar ujian cepat berlalu dan akan datang kenikmatan, pujian serta khabar gembira kelak di hari pertemuan, melalui pujian si tetamu.
Sikap yang seharusnya diambil oleh seorang mukmin di dalam menghadapi kesusahan adalah meniti setiap detik, mencermati apa yang telah terjadi di dalam jiwanya dan menguntit segala gerakan organ tubuh yang didasari oleh kekhawatiran kalau-kalau lisan salah mengucap atau dari hati keluar ketidakpuasan. Dengan sikap demikian, seolah-olah fajar telah menyingsing, malam ujian telah berlalu, sang pengembara pun melepaskan kegembiraan hatinya karena pekatnya malam telah sirna. Terbitlah mentari balasan dan sampailah si pengembara ke rumah keselamatan”.





Konklusi

Sahabat-sahabat, marilah kita bersama mengubah diri kita jika sebelum ini kita seringkali tersalah sangka dengan ujian yang menimpa. Sedangkan ujian itu tanda kasih Allah kepada kita. Diujinya kita untuk menilai tahap keimanan kita dan juga tingkatan cinta kita kepada-NYA. Sesungguhnya Ujian itu Tarbiah dari Allah Untuk membentuk jiwa ‘abid.

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).





[1]Surah Al-Baqarah: 156

[2] Surah AL-Ma’arij: 19-21

[3] Ibid, ayat 22-23
[4] Surah Al-Anbiya’: 83

No comments:

Post a Comment