Assalamu’alaikum warahmatullah..
Bukan sebuah cerita kali ini. Bukan juga sebuah petikan
daripada lagu. Tetapi satu pernyataan dan kenyataan.
Ya, sebuah pernyataan daripada saya sendiri. Sedikit
kelainan entri kali ini. Kerana ia lebih berbentuk coretan hati. Sebuah puisi
hati.
Insya-Allah moga
sahabat-sahabat sudi membaca sehingga ke akhir tinta kali ini. Moga kita dapat
bermuhasabah diri bersama.
Sebuah Puisi:
"Aku Tahu Siapa Aku"
Diri disingkap Hati dibelah
Hari meniti hari. Bulan berganti bulan. Tahun menginjak
tahun. Usia diri pastinya semakin bertambah. Usia hidup juga pastinya semakin
memendek. Hakikat makhluk itu pasti terbatas hayatnya. Justeru semakin memendek
usia bermakna semakin dekat kita dengan Sang Pencipta.
Menyingkap tabir diri. Menjengah kamar hati. Kurasakan
aku kenal benar akan diriku. Ya, aku memang kenal benar diriku sendiri. Siapa
lagi yang lebih mengenali diriku jika bukan aku sendiri? Aku tahu siapa aku.
Sudah lama aku bertubuhkan diriku. Sudah lama aku
berwajahkan diriku. Setiap inci lubang dan lopak halus yang ada di wajah ini aku
tahu di mana ia berada. Ya, semestinya aku kenal benar bagaimana rupaku. Aku
kenal diriku.
Sudah lama aku hidup bersama tubuh ini. Ya, aku kenal
benar akan bau diriku. Tiada siapa yang lebih tahu akan cacat cela diriku
melainkan diriku sendiri. Ya, aku pasti! Aku kenal benar akan diriku.
Hakikat seorang hamba
Jaganya aku dari lena. Lantas yang terlintas di benakku
“Alhamdulillah…”
Aku bersyukur kerana masih dapat merasai nikmatnya
hidup. Benar! Tiada lain lagi yang kufikirkan melainkan soal hakikat diriku.
Aku seorang hamba. Hamba kepada Sang Pencipta.
Sekian lama kuhidup di atas muka bumi Tuhan. Aku tahu
batas diriku. Aku punya garis panduan untuk hidup. Aku hidup bersyari’at.
Benar, segala syariat dari Tuhanku pastinya aku patuh. Ya, aku tidak lalai
sebagai hamba-NYA.
Hari-hari yang kulalui ada macam-macam cerita. Sekejap
hujan sekejap mendung sekejap pula panas. Aku sudah biasa. Aku sudah lali. Aku
tahu semua itu ujian dan warna-warni kehidupan. Ya, aku sudah cukup kebal
dengan semuanya. Aku seorang yang tabah. Aku tahu siapa diriku.
Tirai iman disingkap...
Aku kenal siapa aku. Segala yang bermain-main di
fikiranku aku mengerti benar. Aku tahu apa yang aku rasa. Aku tahu apa yang aku
fikir. Aku tahu apa yang aku buat. Aku tahu segala-galanya tentang aku. Siapa
lagi yang lebih tahu tentang diriku. Pastinya aku yang paling arif. Kerana aku
pemilik tubuhku.
Orang kata hati ini raja. Ya, aku rasakan itu benar
juga. Jika bukan apa yang terlintas di hati kecil ini apa lagi yang aku
pandukan. Segala yang baik dan segala yang buruk itu aku timbang guna akalku.
Lalu aku putuskan di hati ini. Aku tahu itulah yang terbaik buatku.
Tapi…benarkah begitu?
Adakah yang terbaik itu datangnya dari suara hatiku?
Bukankah firman Allah:
{………. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.}
[Al-Baqarah: 216]
Aku tersentak. Benar-benar
tersentak. Lalu iman mula menguasai diri. Mengetuk tangkai hati. Sesungguhnya
begitulah fitrahnya manusia biasa sepertiku. Seringkali terlupa dengan hakikat
sebenar seorang hamba. Hamba kepada Allah. Tidak semua perkara
sewenang-wenangnya aku mendabik dada mengatakan bahawa aku tahu apa yang
terbaik buat diriku. Dia yang Maha Mengetahui. Dan pastinya lebih daripada
segala-galanya mengetahui...
Serahkanlah seluruh jiwa dan ragamu hanya kepada
DIA Rabbul ‘Izzati. Pasti akan beroleh yang terbaik dari-NYA….
Usaha,
doa & tawakkal
Baiti
Jannati
4
Rabi’ulAkhir 1434H/15 Februari 2013
No comments:
Post a Comment