Thursday, December 1, 2011

Rapuhnya Hati






Assalamua’alaikum warahmatullah..Salam Ma’al Hijrah!

Sudah lama terasa menyepikan diri. Bukan kerana tiada buah fikiran untuk mencoret tetapi tuntutan kewajiban terlalu banyak untuk ditunaikan. Final Year Project (FYP), tugasan kerja dari pensyarah ditambah lagi dengan amanah-amanah yang diberi oleh Allah membuatkan diri tersepit antara masa yang ada.

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan


Dalam mengharungi samudera kehidupan ini pelbagai mehnah menjadi taruhan. Biar susah biar payah tidak boleh sekali-kali mengundur langkah kerana hakikatnya masa sentiasa dan tetap berjalan sehinggalah hari yang dijanjikan Allah s.w.t. Apa yang boleh dilakukan adalah memperbetulkan langkah andainya tersasar.

 
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Hakikat hidup penuh dengan turun naik bagaikan putaran roda. Sekejap kita di atas sekejap kita di bawah. Sekejap kita gembira sekejap kita berduka. Sekejap kita tenang sekejap kita resah. Semua itu asam garam yang perlu ditelan. Pelbagai masyaqqah (kesulitan) yang kita hadapi itu merupakan ujian-ujian kecil yang Allah hadiahkan khas untuk diri kita. Dikurniakan al-Ibtila’ itu sebagai satu medan untuk menentukan sama ada kita hamba yang bersabar atau tidak dan kita adalah hamba yang bertaqwa atau tidak. Maka, terimalah ia dengan hati yang terbuka. Redholah dengan segalanya. Moga-moga kita menjadi hamba pilihan Allah..

Ya, bukan mudah sebenarnya untuk menelan segalanya. Rasa berpasir sahaja di tekak. Pahit dan payau bagai bercampur semuanya. Cumanya satu, hadapkanlah segalanya di hadapan Allah. Mengadulah dengan Dia Rabbul ‘Izzati. Sesungguhnya tiada tempat kembali yang paling baik melainkan kepada-NYA.


Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertakhta

Manusia fitrahnya bersifat keluh kesah. Seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ma’arij:

“Sungguh manusia diciptakan suka mengeluh.
Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah..”
(Al-Ma’arij: 19 & 20)

Sememangnya kita sebagai manusia sangat lemah. Segala qudrat yang ada adalah milik Allah. Maka seharusnya kita sentiasa kembali kepada-NYA. Jika kita mengeluh segeralah istighfar. Jangan kita lupa Allah itu cinta hati kita yang tidak mungkin menzalimi diri kita. Adakah kekasih sanggup melukai hati kekasihnya? Tepuk dada tanyalah iman. Biarpun fitrahnya kita suka mengeluh tetapi seharusnya kita tidak membiarkan diri kita sentiasa begitu. Teguhkanlah hati dengan cinta kepada-NYA, elakkan segala kerapuhan hati moga-moga kita menjadi hamba yang dekat kepada-NYA..





Adaptasi dari lirik lagu “Rapuh” nyanyian Opick.

Wednesday, November 9, 2011

Raya EidulAdha @ Perantauan...



AllahuAkbar..AllahuAkbar
Tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan Salam Eidul Adha 1432H buat semua muslim seluruh dunia!

Tahun ini merupakan tahun kedua ana beraya haji di perantauan. Segala rasa bagai bercampur baur. Sedih, rindu, sebak dan semuanya menyatu. Sehinggakan bagai tiada perasaan jadinya. 

Siapa tidak sedih berjauhan dari insan yang disayang?
Siapa tidak rindu dengan yang jauh di pandangan mata?
Siapa tidak berasa sebak jika semua rasa pilu mencengkam?


‘Alah bisa tegal biasa

Walaupun sudah lali menahan segala rasa terkadang tidak mampu juga diri menghalang dari melepaskannya. Sekuat mana pun kita setabah mana pun kita sudah pasti ada tahapnya. Cuma bagaimana kita menyalurkan rasa itu penting untuk kita semak kembali. Jika ingin menangis menangislah di hadapan Allah. Jika ingin mengadu mengadulah dengan Allah. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik tempat kita kembali..


Apabila masa berlalu usia juga meningkat maka kematangan diri juga terbina. Membuatkan diri lebih tabah dan lebih mandiri dalam menempuh ranjau hidup. Inilah yang patut kita bina dalam diri. Berusaha mematangkan diri. Dengan kematangan diri kita lebih bijak mengatur langkah. Tidak terlalu bergantung harap kepada orang lain. IsyaAllah dari sifat independent yang tinggi membuatkan kita lebih maju ke hadapan bergerak. Malahan kita pula membantu dan memudahkan urusan orang lain. Inilah yang membina sifat pengorbanan dalam diri kita.

Dalam sejarah Islam terlalu banyak kisah berkaitan pengorbananan. Rasulullah s.a.w sendiri dalam rentetan perjuangan baginda menyebarkan agama Islam menempuh liku yang memerlukan pengorbanan yang tinggi. 

Apabila berbicara tentang peristiwa korban dan Raya Korban sudah tentunya erti tadhiyyah@pengorbanan yang telah ditamsilkan oleh Nabi Allah Ibrahim serta anaknya Nabi Allah Ismail ‘alaihimassalam itu menjadi fokus utama.

Peristiwa yang berlaku ribuan tahun dahulu itu pastinya semua telah maklumi. Cuma, adakah kita benar-benar mengertinya? Atau sekadar menghafal jalan ceritanya kerana ianya terkandung dalam subjek Pendidikan Islam?


Tadhiyyah dalam Perjuangan

Dalam memperkatakan soal pengorbanan rata-rata boleh mendefinisikan dan mengulaskannya dengan baik. Namun, persoalan yang sama, sejauh manakah kefahaman kita? Ya, bercakap memang mudah tapi untuk mempraktikannya bukan perkara yang mudah.

Seperti dalam bingkisan sebelum ini, Gula-gula Perjuangan, menempuh jalan juang tidak kiralah dalam lapangan apa sekalipun semestinya ada halangan dan cabarannya. Setiap ujian yang ditempuh bersesuaian dengan level diri seseorang. Jangan dikata diri tidak mampu kerana hakikatnya Allah lebih mengetahui kemampuan diri kita.

Namun, rasa manis itu tidak akan dirasa selagi mana minda positif tidak dibentuk dan diterapkan dalam diri. Pemikiran negatif yang membenak dalam buah fikiran kita akan terus menerus menjadi batu penghalang untuk kita mengambil setiap apa yang berlaku dari sudut pandang yang positif. Setiap yang berlaku pasti ada sebab musababnya dan pasti ada hikmahnya. Maka seharusnya kita bukakan minda seluasnya supaya kita menjadi orang yang berjiwa besar dalam mengharungi lopak-lopak perjuangan. Sesungguhnya yang pahit itulah yang menambahkan rasa manisnya berjuang..


Manisan di sebalik Tadhiyyah

{Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak tidak diuji?} Surah Al-Ankabut: 2

Tidakkah kita merasa lega apabila mendapat tarbiyyah direct dari Allah? Sahabat-sahabat Radhiallahu’anhum tidak pernah merasa aman apabila hidup bersenang lenang tanpa sebarang ujian. Malah mereka merasakan jauh dari perhatian Allah. Betapa positifnya cara fikir para sahabat r.a!  Yakinlah, bahawa ujian-ujian inilah sebenarnya yang menambahkan tingkatan iman kita.

Sesungguhnya di sebalik onak duri yang menimpa ada rahmat dan ampunan dari Allah; sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 157, “Mereka itulah (orang-orang yang ditimpa musibah) yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”  

Oleh itu, marilah sama-sama kita kejar rahmat Allah dan seterusnya berusaha menjadi ‘Ibadurrahman yang sangat dekat kedudukannya dengan Allah..



Saturday, October 8, 2011

Gula-gula Perjuangan





“Saya tak nak lagi terlibat dalam program ni, saya banyak kerja lain nak kena focus”

“Saya nak letak jawatan dalam organisasi ni, saya taknak akademik saya terganggu.”

“Entahlah, saya rasa keterlibatan saya dalam semua-semua ni tak memberi makna la, menjatuhkan lagi prestasi saya adalah..”

Sesungguhnya, alasan yang wujud atas muka bumi ini memang sangatlah banyak. Jika hendak disenaraikan memang tidak mungkin. Manakan tidak, alasan-alasan yang terungkap itu terlahir dari pemikiran yang berbeza-beza.

Apa yang membuatkan pemikiran kita berbeza?
Bukankah kita dilahirkan dari medan tarbiyah yang sama?
Bukankah bibir kita pernah melafazkan bait janji setia untuk berjuang di medan yang sama?
Bukankah mata kita pernah menjadi saksi tangisan tika mula menjejakkan kaki dalam perjuangan?
Bukankah kaki dan tubuh kita pernah meredah lautan ombak badai……?

Duhai sahabat…
Ke mana pergi kesemua perkara itu?
Adakah hanya dengan sedikit mehnah dalam berjuang engkau sudah tawar hati?
Bukankah antara tanda-tanda golongan munafik itu; apabila bercakap dia berdusta dan apabila berjanji dia mungkir…?
Adakah kita mahu termasuk dalam golongan munafik?

Duhai sahabat...
Ingatlah bahawa ujian yang menimpa kita sangatlah kecil jika dibandingkan dengan apa yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Tubuh baginda yang mulia pernah terluka dan berdarah di medan jihad.
Namun itu tidak sekalipun mematahkan semangat baginda untuk meneruskan perjuangan.

Baginda kekasih Allah, tetapi baginda tidak mengeluh apabila mengalami kesukaran. Tidak sekali-kali!!

Sahabatku...Ya, kita bukanlah Rasulullah, tetapi, bukankah kita mengaku bahawa kita mencintai baginda dan ingin menyambung rantai perjuangan baginda??

Tidak perlu antum jawab pada ana semua persoalan ini, tetapi jawablah pada iman antum…

Duhai kalian yang dikasihi...
Ingatlah bahawa setiap mehnah yang kalian tempuh merupakan tarbiah dari Allah..
Biar payah biar perit tempuhlah dengan hati yang IKHLAS..
Yakinlah dengan janji Allah bahawa kemanisan pasti akan kalian rasa di kemudian hari..

Itulah GULA-GULA PERJUANGAN...!


Renunglah bait lagu di bawah ini, khas didekasikan buat sahabat-sahabat seperjuangan semua.. 

Sunnah Orang Berjuang
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara memburu cinta
Membara demi Allah dan rasulNya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintis sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
Dunia yang fana...atau syurga



Tabahkan Hati dan Teruskan Perjuangan!!!!



Album : pelita hidup IV           
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com