Thursday, December 1, 2011

Rapuhnya Hati






Assalamua’alaikum warahmatullah..Salam Ma’al Hijrah!

Sudah lama terasa menyepikan diri. Bukan kerana tiada buah fikiran untuk mencoret tetapi tuntutan kewajiban terlalu banyak untuk ditunaikan. Final Year Project (FYP), tugasan kerja dari pensyarah ditambah lagi dengan amanah-amanah yang diberi oleh Allah membuatkan diri tersepit antara masa yang ada.

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan


Dalam mengharungi samudera kehidupan ini pelbagai mehnah menjadi taruhan. Biar susah biar payah tidak boleh sekali-kali mengundur langkah kerana hakikatnya masa sentiasa dan tetap berjalan sehinggalah hari yang dijanjikan Allah s.w.t. Apa yang boleh dilakukan adalah memperbetulkan langkah andainya tersasar.

 
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Hakikat hidup penuh dengan turun naik bagaikan putaran roda. Sekejap kita di atas sekejap kita di bawah. Sekejap kita gembira sekejap kita berduka. Sekejap kita tenang sekejap kita resah. Semua itu asam garam yang perlu ditelan. Pelbagai masyaqqah (kesulitan) yang kita hadapi itu merupakan ujian-ujian kecil yang Allah hadiahkan khas untuk diri kita. Dikurniakan al-Ibtila’ itu sebagai satu medan untuk menentukan sama ada kita hamba yang bersabar atau tidak dan kita adalah hamba yang bertaqwa atau tidak. Maka, terimalah ia dengan hati yang terbuka. Redholah dengan segalanya. Moga-moga kita menjadi hamba pilihan Allah..

Ya, bukan mudah sebenarnya untuk menelan segalanya. Rasa berpasir sahaja di tekak. Pahit dan payau bagai bercampur semuanya. Cumanya satu, hadapkanlah segalanya di hadapan Allah. Mengadulah dengan Dia Rabbul ‘Izzati. Sesungguhnya tiada tempat kembali yang paling baik melainkan kepada-NYA.


Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertakhta

Manusia fitrahnya bersifat keluh kesah. Seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ma’arij:

“Sungguh manusia diciptakan suka mengeluh.
Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah..”
(Al-Ma’arij: 19 & 20)

Sememangnya kita sebagai manusia sangat lemah. Segala qudrat yang ada adalah milik Allah. Maka seharusnya kita sentiasa kembali kepada-NYA. Jika kita mengeluh segeralah istighfar. Jangan kita lupa Allah itu cinta hati kita yang tidak mungkin menzalimi diri kita. Adakah kekasih sanggup melukai hati kekasihnya? Tepuk dada tanyalah iman. Biarpun fitrahnya kita suka mengeluh tetapi seharusnya kita tidak membiarkan diri kita sentiasa begitu. Teguhkanlah hati dengan cinta kepada-NYA, elakkan segala kerapuhan hati moga-moga kita menjadi hamba yang dekat kepada-NYA..





Adaptasi dari lirik lagu “Rapuh” nyanyian Opick.

No comments:

Post a Comment