Tuesday, August 20, 2013

Sangat Sukar Jalan Ini!


Assalamu’alaikum. Salam Eid Mubarak. Taqabbalallahu minna wa minkum taqabbal Ya Kareem…
Perginya Ramadhan meninggalkan kita bagaikan satu kehilangan yang amat terasa. Perginya insyaAllah akan kembali dengan izin Allah Subhanallah wa Ta’ala.




Tarbiyyah diri di Bulan Tarbiyyah.

Pasti kita semua telah sedaya upaya mendidik diri menjadi hamba Allah yang lebih baik. Terasa mudah sahaja segala amal kebaikan dilakukan. Semangat juga berkobar-kobar. Cepat sahaja kaki melangkah pabila seruan azan kedengaran. Ringan sahaja lidah melantunkan ayat-ayat suciNYA. cerah sahaja mata berjaga malam bermunajat menghadap Allah Rabbul Izzati. Sehingga boleh dikatakan segala-galanya berlaku luar dari kebiasaan!

Ajaib? 

Tidak ajaib sebenarnya.  Suasana itu sendiri sebenarnya sangat membantu. Bahkan kita sedia maklum bahawa nafsu kita juga lebih jinak dengan kebaikan setelah gangguan jahat syaitan tidak menjadi ancaman kita. Jadi, lebih mudahlah kita cenderung mendekati Allah…


Ya Allah, sangat sukar jalan ini!

Jalan apakah yang sukar itu? 

Sudah tentulah jalan mujahadah. Melakukan kebaikan dan meneruskan kebaikan adalah dua terma yang berbeza.  Kedua-duanya mempunyai cabaran dan halangan yang berbeza. Namun, antara dua itu jalan kedua yakni ‘meneruskan kebaikan’ itu adalah lebih sukar!

Benarkah?

Meneruskan perkara kebaikan juga biasa kita dengar sebagai ‘istiqamah’.

Kenapa istiqamah ini lebih sukar?


Hakikatnya, istiqamah ini tidak perlukan sesuatu yang gempak-gempak. Cukuplah satu perkara kecil yang baik itu kita cuba kekalkan. Sepertimana dikhabarkan oleh kata-kata ulama (bukan hadis) ada menyebutkan :

أفــضل الأعمــال ادومــها وإن قــل
“Sebaik-baik amalan ialah yang berterusan walaupun sedikit”


Ya, Allah itu sangat tahu akan kemampuan hamba-hambaNYA. Tidak perlulah kita  membuat sesuatu yang berada di luar jangkauan kita. Tetapi, apa yang mampu dilakukan itu maka kekalkanlah! 
Namun, yang sedikit ini kenapa terlalu sukar?
 

Sebuah Harapan... 

Sukar sungguh untuk istiqamah...kenapa ya?

Jawapannya adalah...

Kekuatan jiwa yang goyah. Dari mana sebenarnya kekuatan jiwa kita ini? Tentulah dari iman dan taqwa yang memasak dalam jiwa. Tanpa adanya iman dan taqwa pastinya mati kewarasan aqal dan kesucian jiwa. Percayalah, diri kita tak akan mampu menangkis segala musuh yang menghasut. Kerana itu, sangat penting kita menjaga kedudukan iman dan taqwa dalam diri. Biarpun iman kita senipis kulit bawang sekalipun sekurang-kurangnya ia dapat menjadi, penunjuk, sandaran juga harapan untuk kita menuju Ilahi…

Doaku moga kita tetap teguh berdiri di atas jalan redha-NYA. Walau sebanyak mana pun kegagalan kita dalam mengatur langkah ini, teruskanlah langkah itu. Jangan pernah berhenti dan berkata lelah! Sesungguhnya jalan ini jalan mujahadah. Yakni jalan menuju Tuhanmu Yang Maha Kuasa. Justeru wahai teman-teman, yakinlah akan janji Allah ini...

Wallahu a'lamu a'lam...

Srikandi Al-Azwar,
13 Syawal 1434H,
Bayt al-Ummah

No comments:

Post a Comment