Wednesday, January 12, 2011

Ya Allah..Sangat berat AMANAH ini!


Tanggungjawab  Seorang Pemimpin

عن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ  
Ibn umar r.a berkata : saya telah mendengar rasulullah saw bersabda : setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban  perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. –Bukhari dan Muslim- (link)

Apabila berbicara tentang kepimpinan ia bukan hanya merujuk kepada pemimpin besar dan berjawatan tinggi sahaja. Hakikatnya kita semua adalah pemimpin, bahkan jika sekalipun kita tidak punya orang bawahan untuk dipimpin tetap kita ini adalah pemimpin kerana kita adalah pemimpin kepada diri kita!


Menjaga Amanah itu merupakan bahagian dari IMAN

حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ حَدَّثَنَا الْمُغِيرَةُ بْنُ زِيَادٍ الثَّقَفِيُّ سَمِعَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Rasulullah saw bersabda: “tidak beriman orang yang tidak bisa menjaga amanah yang dibebankan padanya. Dan tidak beragama orang yang tidak bisa menepati janjinya”. -hr. Ahmad bin hambal- (link)

Merujuk kepada ayat 72 dari surah alAhzab, jelas sekali Allah menyampaikan kepada kita bahawa amanah itu terlalu berat:
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”

Betapa ini sudah jelas sejelas-jelasnya bahawa amanah itu amatlah berat!





Sampaikanlah Amanah kepada yang BERHAK

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya :  
" Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah s.a.w. dari riwayat Muslim,
Dari Abu Zhar, dia berkata : Saya berkata: “Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya”. Rasulullah bersabda: “hai Abu Zhar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya”. (link)

Daripada hadis di atas kita dapat lihat ketika Abu Zhar meminta jawatan, beliau tidak dipedulikan oleh Rasulullah. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.

Sesungguhnya kisah nabi Yusuf yang jujur, termaktub dalam Al-Quran adalah satu pengajaran yang baik untuk dijadikan pedomannya sepertimana firman Allah Ta’ala :

Maksudnya : " Berkata Yusuf : " berikanlah kepadaku jawatan perbendaharaan negara (Mesir) kerana sesungguhnya aku adalah orang yang paling pandai menjaga, lagi berpengetahuan ".

Di sini kita amat jelas bahawa dalam menentukan pemimpin haruslah melantik insan yang benar-benar ahli dalam bidang tersebut. ‘Ahli’ di sini secara mudahnya mungkin boleh dinyatakan sebagai ‘faqih’ yang bermaksud benar-benar arif dengan bidang tugas yang akan dipikulnya.

Sebagai contoh, dalam kita memilih pemimpin yang menguruskan hal-hal berkaitan agama dan tarbiyah maka seharusnya kita meletakkan seseorang yang punya ilmu yang sahih dan amalan yang baik.


Tidak Boleh Menyerahkan Amanah Atas Dasar Pilih Kasih!

Yazid bin Abu Sufiyan berkata: Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. diwaktu beliau mengutusku ke negeri Syam : Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bererti : 

"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Riwayat Al-Hakim) -link-

Kekadang sesetengah pihak apabila melantik seseorang pemimpin cenderung memilih orang yang dekat dengannya, yang rapat dengannya, kaum kerabatnya dan sebagainya. Mereka memilih bukan atas dasar pertimbangan ilmu dan iman tetapi atas dasar kepentingan peribadi!

Inilah yang harus kita elakkan. Elakkan kepentingan diri dan elakkan soal kroni! Hakikatnya begitulah, misalnya perkara-perkara yang melibatkan kroni kita akan lihat kroni-kroninya akan berada sebaris dalam kepimpinannya. Apabila si A turun maka pemimpin B yang baru naik akan mencantas kroni-kroni A. Inilah contoh kepimpinan yang mementingkan perut sendiri!

Akibat Menyerahkan Amanah kepada yang Bukan AHLI

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud : 

"Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan).

Justeru, wahai semua pemimpin di luar sana, sedarlah diri sedarlah amanah yang berada di pundak kalian! Jangan menjadi pemimpin yang membuat kerosakan kerana tidak ahli dan tidak menjalankan amanah dengan baik!

Kita adalah KHALIFAH di muka bumi!


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-MU dan menyukan nama-MU?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (alBaqarah ayat 30)

Hakikatnya manusia mempunyai perasaan, emosi dan fikiran yang advance. Justeru, tidak hairanlah jika manusia ini mudah melakukan pembunuhan dan sebagainya seperti ayat di atas.

Dari hal tersebutlah maka amatlah penting bagi kita melantik pemimpin yang benar-benar layak di kalangan kita. Pemimpin yang baik bukan hanya pandai berkata-kata, bukan hanyai pandai berdebat, tapi yang paling penting adalah memiliki kesasihan ilmu dan peribadi yang mulia.

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” Al-Ahzab ayat 21.

Memilih pemimpin yang bukan ahli dalam sesuatu bidang bukan sahaja menyebabkan orang tersebut tidak mampu memikul amanah tersebut malah akan merosakkan orang-orang yang di bawahnya. Na’uzubillah..


Bintu Mahzir
Ghurgatul Sakeenah
7 Safar 1432H/ 12 Januari 2011
“Bersedia Ditarbiyah dan Mentarbiyah”

Bestnye dapat KLIK sini. 
Boleh main game dan macam-macam lagi!!(^_^)

No comments:

Post a Comment