Tuesday, April 26, 2016

[Hadis] Alam Barzakh: Pengenalan


Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh. Alam barzakh juga dikatakan alam yang berada antara mati dan bangkit setelah mati.[1]






Pengarang kitab Mu‘jam Alfaz as-Shawfiyah menyatakan perkataan barzakh dari sudut bahasa ialah sekatan atau pemisah di antara dua sesuatu seperti bercakap adalah pemisah di antara manusia dengan binatang. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya”[2]

Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat.
Jadi alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat sementara penghuni dunia untuk sampai ke hari Kiamat.

Menurut al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “… Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” (Surah al-Mukminun: 100)[3]

Beliau menjelaskan ayat tersebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. Manakala pengarang kitab Akidah al-Mukmin pula menyatakan tujuan wujudnya alam barzakh ialah untuk menghimpunkan semua roh dan bersiap sedia memasuki alam akhirat. Dengan kedudukannya yang seperti itu, maka alam barzakh berfungsi sebagai pendinding atau pemisah di antara dua kehidupan lain iaitu kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Dengan perkataan lain, alam barzakh ialah alam penantian atau ruang menunggu untuk masuk ke alam akhirat selepas kematian.[4]

          Menyentuh mengenai ruh, ianya adalah salah satu dari rahsia-rahsia dan urusan-urusan Allah SWT. Banyak pendapat membincangkan berkaitannya. Mengenai tempat dan kedudukan ruh semenjak ia meninggalkan jasad hingga Hari Kiamat kelak sahaja terdapat kurang lebih sembilan pendapat daripada ulama yang berbeza-beza.[5] 

          Ibn Qayyim rahimahullahu Taala menerangkan dalam kitabnya Ar-Ruh:

“Yang paling benar ialah bahawa tempat dan kedudukan ruh di dalam barzakh itu sangatlah berbeza antara satu sama lain bergantung pada tingkat kebahagiaan dan kesengsaraan yang dimiliki oleh ruh itu sendiri.”

          Manakala mengenai azab dan nikmat kubur pula, ia adalah perkara ghaib yang tidak dapat dicapai dengan akal. Sementara itu, beriman kepada perkara ghaib adalah perkara terpenting bagi seorang mukmin, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah:

“Alif, Laam, Miim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”[6]

Ibnu Qayyim RA berkata, “Antara yang mesti diketahui adalah azab kubur, yang disebut juga azab barzakh. Setiap orang yang mati akan mendapat azab, walau dalam keadaan bagaimanapun dia mati. Baik dikuburkan atau tidak.[7]

Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Manakala perkataan kubur pula bermaksud tempat menanam mayat. Jika disebutkan perkuburan bermakna tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang yang telah mati atau permakaman.

Mayat sama ada ditanam, ditenggelamkan, terbakar jadi debu atau dimakan binatang; mereka disebut berada di alam barzakh. Maka pengertian kubur yang dikaitkan dengan kesenangan atau azab ialah alam kubur yang berada di antara alam kehidupan dunia dengan alam akhirat iaitu alam barzakh.



[Kedudukan Hadis Ahad Dalam Hujjah]

Ada sebahagian orang yang mendakwa bahawa azab kubur tidak sabit kerana hadis-hadis yang mengkhabarkan keshahihan azab kubur adalah hadis Ahad.

Menurut pengarang kitab al-Aqidah al-Islamiyah wa Ususuha bahawa kebanyakan hadis-hadis Nabi SAW yang sampai kepada kita ialah menerusi jalan Ahad. Jika hadisnya shahih, ia membawa ilmu zanni kepada periwayatannya. Ini memberi faedah bahawa ia difahami pasti datang daripada Nabi SAW, tetapi tidak seperti akidah kita kepada mutawatir. Walaupun begitu, sesetengah hadis Ahad yang mengandungi persoalan akidah ada yang diterima umat Islam pada zaman awal Islam dengan penerimaan sepenuhnya tanpa bantahan. Hadis Ahad seperti ini meningkat ke taraf “riwayat mutawatir” dengan mengambil kira kandungannya telah diambil dan diterima pakai umat Islam tanpa bantahan. Dengan itu hadis Ahad seperti ini jadilah “mutawatir makna”, dan dari itu pula ia membawa faedah yang sama pada riwayat “mutawatir lafzi”.[8]

Imam Syafi‘e Rahimahullah telah mensabitkan bolehnya berhujjah dengan hadis Ahad sebagaimana terdapat banyak tempat di dalam kitab-kitab beliau khasnya ketika dalam perbahasan atau munazzah. Hadis Ahad dipakai beliau apabila hujjah yang diperlukan tidak dijumpai dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmak atau yang semakna dengannya”.[9]


Baca seterusnya mengenai Alam Barzakh:



Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
Rich Kitchen & Khawlah Collection founder



[1] Ensiklopedia Islam, hlm. 3/8-9
[2] Al-Quran, (Surah ar-Rahman: 19-20)
[3] Al-Qurtubi, Tafsir Al-Qurtubi, 6/113.
[4] Akidah Al-Mukmin, Halaman 409-501
[5] Hamid Muhammad Al-Abbadi, Menuju Alam Barzakh, hlm. 68.
[6] Al-Quran, Surah al-Baqarah: 1-2
[7] Dr. Aidh Al-Qarni, S. Muhammad Hussain Ya’qub, Dr. Muhammad A.R Al-Uraifi, Malam Pertama Di Alam Kubur, hlm.52. 
[8]Abdul Rahman Hanakah al-Midani, al-Aqidah al-Islamiyah wa Ususuha: hlm.37, [9] Imam Syafie, Ar-Risalah 596-598

No comments:

Post a Comment