Wednesday, April 6, 2016

Penggunaan Kata-kata Positif Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak (1)



Pengenalan konsep
Kanak-kanak di awal usia
“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada mahu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim.)
Maksud hadis di atas dapat difahami bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah melalui proses yang dipupuk. Asasnya anak-anak yang dilahirkan adalah bersih daripada segala unsur negatif tetapi melalui persekitaran seharian akan membentuk peribadi dan tabiat mereka.



Dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak, Jean-Jacques Rousseau, seorang ahli falsafah Perancis, menganggap kanak-kanak semasa dilahirkan adalah baik. Pada pandangan beliau, manusia perlu hidup dalam suasana yang natural tanpa adanya pengaruh yang kurang sihat dalam masyarakat. Beliau menggambarkan pandangannya terhadap alam dalam sebuah bukunya bertajuk Emily seperti berikut:
“God makes all things good, man meddles with them and they become evil” 
(dipetik dalam Morrison 2001, hlm.3)[1]


Bahasa komunikasi serta elemen kata-kata positif



Manusia dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa (Language Acquisition Device)  untuk membolehkan bahasa dapat dikuasai mereka.  Bahasa merupakan mekanisme yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia yang lain dengan menggunakan bunyi-bunyi yang bermakna yang dikeluarkan oleh alat ujaran yang terdapat di dalam tubuh manusia. Semua bunyi yang diujarkan mempunyai maksud tersendiri dan tersusun mengikut hukum-hukum bahasa yang ada dalam masyarakat pengguna bahasa tersebut[2].


Bahasa bukan sahaja melambangkan pemikiran seseorang, malah melambangkan perasaan dan keinginan manusia itu. Walau bagaimanapun, bagi setiap kanak-kanak yang baharu dilahirkan, mereka memulakan   kehidupan tanpa   bahasa.   Proses pemerolehan bahasa anak-anak akan  berlaku sedikit demi sedikit, mengikut perkembangan mental dan  perkembangan fizikal anak-anak itu sendiri[3].
Perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mental, kecerdasan, pengalaman, dan latar belakang sosial yang dilalui mereka. Sehubungan dengan hal itu, perkembangan bahasa kanak-kanak adalah tidak mungkin dapat dipisahkan daripada corak kehidupan keluarga  kanak-kanak tersebut. Baik acuan yang dicurahkan baiklah hasil yang diperoleh. Sepertimana sabda Nabi Muhammad dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Perkembangan bahasa kanak-kanak berlaku tanpa disedari. Hal ini demikian kerana  seseorang kanak-kanak menguasai bahasanya secara meniru dan  tanpa  secara langsung. Hal ini bermaksud seseorang bahawa kanak-kanak tidak perlu mendapatkan  pendidikan formal untuk mempelajari bahasa pada peringkat awal, sebaliknya memperolehnya daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli masyarakat di persekitarannya.



Konsep ‘bapa borek anak rintik’ ini terkandung dalam Hipotesis Tabula Rasa Behaviorisme  dan    Gagasan   Teori Pembelajaran  Sosial yang diasaskan oleh Miller dan Dollar, yang antara lain menyatakan bahawa pembelajaran dan perubahan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu dapat dilakukan melalui  pemerhatian  dan peniruan model. Dalam konteks bahasa dan pendidikan kanak-kanak, ibu bapa dan orang yang paling hampir dengan kanak-kanak tersebut  merupakan  model yang ideal membentuk pertuturan murni serta akhlak anak-anak[4].
Pendedahan kanak-kanak terhadap persekitaran bahasa dalam lingkungan kehidupannya diikuti dengan latihan secara pengulangan akan memberikan pengalaman berbahasa yang sangat berguna kepada kanak-kanak tersebut. Kekerapan seseorang kanak-kanak itu mendengar bentuk bahasa yang dituturkan oleh orang di sekeliling mereka menyebabkan mereka memperoleh bahasa tersebut dalam konteks yang sebenarnya. Seterusnya, inilah yang membentuk jatidiri juga peribadi mereka.
Kata-kata positif adalah satu cabang daripada cabang bahasa dalam berkomunikasi. Ianya terhasil daripada ucapan melalui mulut ataupun melalui penulisan. Di dalam rangkuman kata-kata positif ini dapat dikecilkan skop kepada cabang kecilnya iaitu memberi pujian dan motivasi. Kata-kata positif ini adalah bertujuan untuk menyuntik semangat dan memberi dorongan ke arah kebaikan.
Terdapat banyak kajian yang dijalankan dan didapati bahawa memberikan kata-kata pujian kepada anak-anak kecil adalah digalakkan untuk dilakukan pada setiap hari. Walaupun kata-kata pujian ini selalu disebut, anak-anak kecil akan lebih menghargainya setiap kali diujarkan kepada mereka. Anak-anak akan berasa gembira, seronok, mempunyai keyakinan yang tinggi, bersemangat, dan merasakan bahawa apa-apa yang dilakukan itu adalah wajar dan sememangnya perlu untuk mendapat ganjaran, iaitu dalam bentuk pujian.[5] Rentetan dari ini anak-anak yang dipupuk dengan nilai-nilai positif ini akan lebih unggul jatidirinya.
Banyak terma boleh digunapakai untuk mengungkapkan kata-kata positif. Ungkapan berbentuk pujian merupakan elemen kata-kata positif yang paling mudah untuk disampaikan kepada kanak-kanak kecil. Antara kata-kata pujian yang dapat diungkapkan oleh ibu bapa atau guru kepada anak atau pelajar mereka sebagai galakan supaya mereka mengekalkan amalan atau sikap yang baik[6], termasuklah:
·         Terima kasih kerana mengemaskan permainan adik hari ini.
·         Tahniah kerana kamu berjaya menyiapkan kerja sekolah!
·         Bagus betul akhlak kamu hari ini.




[1] Azizah Lebai Nordin, Pendidikan Awal Kanak-Kanak Teori Dan Amali, hlm. 16.
[2] Dr. Zatul Azma Zainon Hamzah & Dr. Normaliza Abd. Rahim, Artikel Dewan Bahasa dan Pustaka: “Bahasa dalam Pendidikan Kanak-kanak”.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah & Dr. Nik Rafidah Nik Affendi, Artikel Dewan Bahasa dan Pustaka: “Apakah kata-kata pujian penting?”
[6] Ibid.

1 comment: