Friday, July 1, 2011

SETULUS HATI ZINNIRAH (Prolog)




Angin pagi menderu perlahan. Mengelus lembut wajahnya. Hembusan bayu itu bagaikan mencengkam ke seluruh urat nadi. Sejuk. Beku. Serasa bagai tidak dapat menggerakkan badannya untuk bangun dari bangku kayu itu.

Nur Annisa Zinnirah berjalan perlahan sambil mengalunkan zikir al-Ma’thurat. Kelihatan tompok-tompok putih menghiasi pandangan. Nipis sahaja. Walaupun musim dingin hanya tinggal beberapa hari lagi tetapi ianya seakan-akan berat untuk pergi. Ianya tidak “dingin” dengan alam ciptaan Tuhan. Bahkan erat mendakapi bumi dan melaksanakan tugas dengan baik sekali selari dengan apa yang diperintahkan.


Suasana di sekitar Kelvingrove Park cantik sekali. Damai di pandangan mata melihat tumbuh-tumbuhan di sekitarnya. Pokok yang tinggi berbungkus tompokan kecil salji kelihatan indah sekali. Manakala rerumput yang menutupi bumi masih malu menampakkan hijaunya kelihatan selesa berselimutkan nipis salji.

Semua tegar berdiri walau dalam keadaan apa sekalipun. Sejukkah panaskah semuanya tidak menjadi penghalang kepada ciptaan Allah itu untuk tetap bertasbih memuji kebesaran dan keagungan penciptanya. Selagi belum sampai masanya untuk tersungkur mereka tetap setia dan tidak pernah mengeluh. Hanya butiran tasbih bertebaran ke seluruh alam. Tidak berhenti walau sesaat pun. Pasti menghasilkan alunan yang sangat merdu. Semuanya sebagai tanda cinta dan taat setia mereka sebagai hamba. Andai manusia dapat mendengar semua itu pasti akan turut bertasbih.

Terasa malu. Malu dengan makhlukNYA yang satu itu. Mereka tidak pernah berhenti mengabdikan diri. Tidak merasa lelah walau sekadar sekelip mata. Biarpun hidup mereka tidak seindah mana. Perlu berdiri di tempat yang sama sepanjang hayat mereka. Mendepani segala macam hukum Tuhan pada alam ini tanpa boleh berganjak sedikit pun. Subhanallah. Maha suci Allah. Sangat utuh perhambaan mereka. Mereka semua tidak punya akal tetapi menjadi hamba yang setia. Makhluk Allah yang bernama manusia inilah yang punya akal. Tetapi tidak semua yang mengotakan janji setia kepadaNYA ketika di alam roh dahulu.

Zinnirah masih mengatur langkah perlahan sambil memeluk tubuhnya erat. Cuba melindungi tubuh dari sapaan angin sejuk. Walau memakai baju sejuk yang tebal dan sedikit berbulu di bahagian leher dililit pula dengan mafla bercorak kotak-kotak di lehernya dan dibiarkan menutupi sedikit dagunya tetap udara dingin di bumi Glasgow ini mesra sekali mendakap dirinya.

Masih belum ramai kelihatan pada waktu itu. Mungkin suhu yang sejuk mencengkam kurang menarik minat orang ramai untuk keluar di awal pagi. Hanya kelihatan beberapa pasangan yang berjalan berpimpinan tangan.

Zinnirah berhenti dan duduk di sebuah bangku tidak jauh dari pintu masuk Kelvingrove Art Gallery and Museum. Kelihatan Ammar Zuhdi melambai-lambaikan tangan kepadanya dan tersenyum gembira di celahan beberapa orang yang lain. Zinnirah membalas senyuman nipis. Seronok sekali kelihatannya dapat berkunjung ke tempat paling diminati. Wajah itu tetap tersenyum manis ke arahnya menampakkan sedikit lekukan di pipi kanan. 

Tiba-tiba mindanya pantas sekali menyambungkan kepingan-kepingan memori semalam. Mengingatkan dirinya kembali kepada seraut wajah yang satu itu. Abdullah Hafiz Syukri. Sebaris nama itu bagaikan mengasak-asak benaknya. Terasa sesak dadanya seketika.

“Astaghfirullah…” gumam Zinnirah perlahan. Segera dia beristighfar memohon keampunan dariNYA beberapa kali dan menghela nafas dalam lalu dihembus perlahan sambil meraup wajahnya. Tidak sepatutnya dia begitu. Dia seharusnya mengelakkan dirinya dari merungkai lipatan memori itu yang terpasak kemas di mindanya. Tidak mungkin memori itu terpadam melainkan dengan kehendakNYA. Walau susah walau perit demi redha Ilahi dia harus telan dan kuat menghadapi semuanya.

    
    ****

Sedihku, sakitku, ku t'rima
Ku rela, ku pasrah jalanku
Ini suratan aku dicoba
Demi Rahmat Mu ku memohon

Ya Allah ridhoi ketulusah hati
Ya Allah beri aku ketabahan
Ya Allah aku sanggup berkorban
Demi rahmat Mu Ya Allah

Di dunia yang sarat godaan
Ku mohon dosaku ampunkan
Ingin bahagia dunia akhirat
Turunkan Rahmat Mu untukku
   
     ****
(Ketulusan Hati)



Apa anda rasa dengan cerita ini, 'like' kalau suka:




Harap sangat dapat tinggalkan komen selepas membaca.





~Setulus Hati Zinnirah~
30 Rejab 1432H bersamaan 1 Julai 2011
Teratak Cinta Baiti Jannati

Bestnye dapat KLIK sini. 
Boleh main game dan macam-macam lagi!!(^_^)

7 comments:

  1. subhanallah ya ukhti..
    teruskan karier penulisanmu..demi Allah insyaAllah..

    ReplyDelete
  2. To all: terima kasih kerana sudi luangkan masa baca SHZ ni..insyaAllah SHZ akan menyusul dengan bab 1 nanti, tapi penulis agak kesuntukan masa kerana cuba beri tumpuan kpd mini novel Janji Yang Pasti. Enjoy your reading! (",)

    ReplyDelete