Monday, January 28, 2013

Lantunan Mahabbah Rasulullah



Alhamdulillah wa syukur lillah…

Entri kali ini adalah travelog tarbiah saya. Bersama kita hayati sebentar.


Dua hari yang lalu dapat juga saya merasa duduk bersama dalam satu majlis yang cukup indah. Iaitu majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Stadium Suka Menanti, Alor Setar. Majlis yang berlangsung selama 3 hari 3 malam itu sangat indah sekali pabila dihiasi penuh dengan majlis-majlis ilmu dan juga lantunan-lantunan qasidah. Dan malam Ahad tersebut merupakan malam terakhir. Subahanallah, terasa seperti berada dalam taman syurga dengan hadirin yang rata-ratanya berpakaian serba putih. Indah sekali!

Subhanallah… MasyaAllah…

Imam Syafie rahimahullahu Ta’ala pernah berkata;

“Aku mencintai orang-orang soleh sekalipun aku bukan sebahagian daripada mereka, aku berharap mendapatkan syafaat dari mereka. Aku benci orang yang gemar melakukan maksiat, sekalipun aku juga pernah melakukannya.” 
Hati ini dibaluti dengan satu perasaan bahagia. Terasa indah sungguh dapat bertemu mata dengan Tuan Guru-Tuan Guru yang amat saya rindui selama ini yakni Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki. Tambah pula rasa teramat teruja bilamana dapat jua melihat secara ‘live’ Syeikh Zainul Asri Haji Ramli di sana. Alhamdulillah…AllahuAkbar!!! Allah makbulkan jua permintaan hati kecil ini akhirnya… Terima kasih ya Allah… Daku teramat gembira!

##Untuk lihat rakaman majlis antum boleh stream di: http://www.ustream.tv/recorded/28818922


Video streaming by Ustream


Sematkan kecintaan dan kerinduan kepada baginda Rasulullah


Dari Anas radhiallahu anhu, dari Nabi shallallahu alaihi wasalam, bahawasanya baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan segenap umat manusia." (Muttafaq Alaih)

Sahabat-sahabat, paling tidak jika kita tidak dapat mengingati atau membayangkan baginda Rasulullah sekurang-kurangnya usahakanlah untuk tidak mengecewakan baginda. Lihatlah amalan-amalan seharian kita. Adakah sudah benar-benar santun dan jauh dari kecelaan?

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat mulia! Budi pekerti baginda amat menambat hati seluruh isi alam. Malah kemuliaan baginda menandingi seluruh para Nabi dan Rasul. Nama baginda Rasulullah “Muhammad” itu sudah lama terletak dan terpampang di samping nama Allah di langit sana. Subhanallah…
          
Tambahan lagi Allah pernah berfirman kepada Nabi Adam a.s dalam satu hadis Qudsi yang mafhumnya:

“Kalau bukan kerana Muhammad, Aku (Allah) tidak akan ciptakan kamu (Adam). Kalau bukan kerana Muhammad juga Aku tidak akan jadikan syurga dan neraka.”

Subhanallah… MasyaAllah…

Sungguh tinggi kedudukan baginda di sisi Allah. Sehinggakan Allah dan para Malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda. Allah… kita bagaimana pula? Selalukah meniti di bibir kita selawat ke atas baginda?

Para Nabi dan Rasul memperakui kemuliaan baginda Rasulullah. Malah, menjadi umat Muhammad itu punya 1001 kelebihan. Kerana mulianya baginda di sisi Allah umat Muhammad s.a.w juga mendapat tempiasnya. Disayangi dan diberi kelebihan yang banyak berbanding umat-umat Nabi yang lain. Lantas kita bagaimana? Tidak terasa bangga dan terujakah dijadikan umat baginda Rasulullah?


Pengakhiran, lenturlah hatimu…

Wahai Purnama... Wahai Purnama…

Yang indah lagi sempurna…

Bagaimana… Bagaimana…

Nak kuluah dengan kata-kata…

(petikan dari bait qasidah)

Sungguh. Sungguh tak dapat nak dliuah dengan kata-kata. AllahuAkbar! Terasa syahdu pabila melantunkan bait-bait qasidah bersama sekalian hadirin dalam dewan nan indah tersebut. Memang benarlah bilamana kita berada dalam kalangan orang-orang soleh di dalam satu majlis ilmu nescaya hati kita menjadi sangat kuat mengingati Allah dan baginda Rasulullah… Subhanallah! Indah sekali… Tidak terucap dengan kata-kata ini… Andailah Rasulullah bersama-sama kita saat itu… Tentu sekali baginda tersenyum gembira melihatkan penyatuan umat-umatnya. Duhai Rasulullah, walau engkau tidak bersama kami tika ini aku teramat yakin bahawa engkau mendengar rintihan rindu kami. Syafa’atkanlah kami…

Wahai para muhibbin…

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah… marilah sama-sama kita menyematkan baginda dalam hati kita. letakkan seluruh rasa cinta kita buat baginda Rasulullah. Nescaya kita akan mendapat cinta daripada Allah. Moga dengan kita mencintai baginda dan mengikuti segala sunnah baginda membuatkan baginda kenal akan kita di akhirat kita. Seterusnya melayakkan kita untuk mendapat syafaat daripada baginda. Bukankah itu yang kita idam-idamkan selama ini…



Salam Mahabbah Rasulullah…

Srikandi Al-Azwar,
15 Rabi’ulAwwal 1434H/ 27 Januari 2013
Baiti Jannati

Thursday, January 24, 2013

LISTEN! Bawani vs Sharifah Zohra: Sebuah Perspektif Berbeza




Salam Maulidur Rasul.

Pergolakan perjuangan mahasiswa tidak pernah reda. Apa yang diperjuangkan oleh aktivis mahasiswa? Perjuangan hak asasi, perjuangkan kebenaran dan perjuangan keadilan sejagat. Itulah antara perjuangan terbesar mahasiswa. Selagi semua itu masih dijunam-junamkan oleh pihak tertentu maka perjuangan mahasiswa tidak akan pernah henti. 


Seperti mana yang kita maklum. Sejak isu LISTEN! LISTEN! LISTEN! (banyak kali LISTEN!) yang telah tercetus baru-baru ini dalam satu forum “Seiringkah Mahasiswa dan Politik” diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah kelolaan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) banyak sekali komentar dan ulasan yang kita lihat. Dari akhbar-akhabar internet, blog-blog sehinggalah Youtube dan sebagainya. Rata-rata tidak mahu ketinggalan dengan isu ini. 



 Kepada yang tidak tahu hujung pangkal silakan tengok video di bawah ini dahulu.





Gempak memang gempak! sehinggakan pelbagai respon dari variasi pihak sudah kita dengar dan lihat. Namun, satu sahaja yang saya nanti-nantikan sebenarnya. Iaitu respon dari pihak kerajaan.


KPT nafi brainwash pelajar IPT

Sebagai bekas aktivis mahasiswa, saya turut sama merasa seperti ditekan-tekan dan dihenyak-henyak apabila melihat insiden ini. Ianya sangat mengecewakan! Bukan kerana tidak menjangka perkara seperti ini berlaku malah perkara inilah yang selalu sangat berlaku dalam kalangan mahasiswa. Tetapi yang membuatkan saya rasa kecewa dan malah saya pasti seluruh aktivis mahasiswa turut kecewa adalah bagaimana isu ini ditangani terutama dari pihak kerajaan. Insiden ini sudah lama berlaku (8 Disember 2012 lagi) namun ianya seperti sengaja dipetibesikan!
  
 
Tidak ingin mengulas panjang tentang peristiwa LISTEN tersebut. Namun, setelah sekian lama menanti, akhirnya! Dato’ Seri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, membuat juga ulasan ringkas di Berita jam 4 petang di TV3 kelmarin (22 Januari 2013). Hal ini membuatkan saya betul-betul terpanggil untuk turut sama turun padang merespon isu ini. Beliau mengatakan bahawa forum yang diadakan di UUM tempoh hari bukan tujuan untuk ‘brainwash’ dan tidak berniat mengongkong hak bersuara pelajar IPT. Just it, sangat ringkas dan tidak seperti yang diharapkan. 

Amat kecewa sekali bilamana isu ini hanya ditongsampahkan. Sepertinya tidak ada nilai langsung di mata kerajaan dan seolah-olah terlalu angkuh untuk memberi sebarang respon berkenaan isu ini. Saya fikir isu ini bukanlah satu isu yang sangat ‘kanak-kanak’ kerana hakikatnya banyak pihak mengambil berat akan isu ini. Ianya bukan isu politik tetapi isu hak bersama. Kenapa kes ini cuba dipejam sebelah mata oleh pihak berwajib. Adakah mereka menunggu masa mahasiswa mencetuskan kembali suasana hangat seperti sebelum ini di Dataran Merdeka? Atau adakah mereka sudah terlalu kebal dengan segala persediaan untuk menangani segala kemungkinan yang ada?

Inilah yang selalu menjadi permasalahan apabila setiap kali adanya mahasiswa yang berani ke hadapan kemudiannya mahasiswa kembali ditekan dan akhir sekali di’gantung’. Seolah-olah itulah jalan ‘terbaik’ yang hanya ada bagi ‘mendengar’ suara mahasiswa. Sepertinya tidak ada solusi yang lebih baik. Isu demi isu yang pernah tercetus sebelum ini sebaiknya dijadikan iktibar bersama. Kebanyakannya cuba memandang enteng. Sedangkan saya amat yakin mahasiswa merupakan 3rd force dalam sesebuah negara. Suara mahasiswa bisa menggegarkan rakyat sekaligus kerajaan!

Respon Pasca insiden:

Usaha mengadakan forum ilmiah ini saya dokong. Namun, tetap merasa kecewa kerana ianya tidak mendapat partisipasi pihak kerajaan.

Konklusi juga peringatan bersama

Hanya satu pesanan saya kepada semua pihak terutamanya kepada pihak university dan kerajaan, mahasiswa tidak akan pernah mati rantaian perjuangannya selagi ilmu dan pengetahuan itu menjadi tunggak pedoman. Jangan kerana agenda ‘poket sendiri’ kita takut untuk berhadapan dengan mahasiswa yang punya daya intelek. Hadapilah mahasiswa dengan metod yang sama iaitu intelek. Segala persoalan pokok yang dilontarkan mahasiswa seharusnya diberi respon yang baik. Jika ada sebarang hujah maka hujahkan kepada mahasiswa secara ilmiah. Jangan ajar mahasiswa dengan cara ‘halus’. Kerana ianya tidak cukup halus untuk mencucuk hidung dan mengkuda-kudakan mahasiswa. 

Nasihat bagi pihak-pihak penganjur program pula, mahasiswa sudah terlalu biasa dengan agenda ‘brainwash’ ini. Sehinggakan sudah menjadi lali. Tidak kisahlah agenda apa yang anda ingin ketengahkan tetapi above all ingatlah mahasiswa bukan golongan yang mudah disogok. Kenyataan anda dan respon anda dalam mendepani mahasiswa haruslah dengan cara professional. Jangan sampai ‘jawapan’ anda kepada setiap persoalan yang dilontarkan menjadi persoalan kembali di benak mahasiswa. Itu bermaksud jawapan anda tidak berkualiti dan tidak punya asas yang kukuh. Kelak pasti anda akan mendapat label-label kutukan kembali (seperti yang kita lihat dihadapi oleh Sharifah Zohra) berdasarkan kata-kata yang keluar dari mulut anda sendiri. Justeru, jangan sampai tindakan anda memperlekehkan kredibiliti anda sendiri. 

Setiap kata-kata anda menjadi perhatian ramai. Berhati-hatilah.

Ini adalah salah satu contoh bagaimana anak muda generasi-Y kini melabel seseorang. Kerana mulut badan binasa. Padah apabila memberi respon yang tidak kena mengena.

Khas buat saudari Bawani, anda memang berani! Apa yang menimpa anda itu memang lumrahnya. Saya juga pernah berhadapan dengan situasi listen! listen! listen! ini. Memang 'panas' rasanya bilamana apa yang kita cuba sampaikan disekat-sekat. Last sekali memang terpaksa mengalah. Kerana apa? Kerana masih ada perasaan hormat dan malas hendak bertegang leher. Namun apa pun, bagi saya apa yang anda lakukan pada insiden itu memang patut. Anda bukan meninggikan suara. Apatah lagi cuba melawan cakap. Cumanya, diharap dapat lebih berhati-hati dan lebih berhemah ketika melontarkan sesuatu. Api jangan lawan dengan api. Tetapi siramlah api dengan air..

Akhir sekali, kepada aktivis-aktivis mahasiswa pula terutama aktivis mahasiswa Islam, teruskan semarak perjuangan kalian. Namun, perlu disemat dalam diri anda bahawa semangat yang didahului dalam segala hal tanpa pertimbangan akal yang sihat (ilmu pengetahuan) ibarat api tanpa cahaya. Jangan  biarkan anda tenggelam dan dibawa hanyut semangat. Gunakan sebaik-baiknya kebijaksanaan anda. Jangan sesekali culas di medan juang kerana tidak selamanya anda bergelar mahasiswa. Hakikatnya, medan sebenar perjuangan sedang menanti-nanti kehadiran anda di luar sana. Seeru ‘ala barakatillah…



Srikandi Al-Azwar,
Baiti Jannati,
12 Rabi’ul Awal 1434H/ 24 Januari 2013


Tuesday, January 22, 2013

Kenali Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M)



Kepada muda mudi, mahasiswa mahasiswi dan sesiapa sahaja yang cakna perkembangan semasa terutama menerusi internet pasti rata-ratanya sudah familiar benar dengan SW1M ini. Sebelum ini saya sendiri sepertinya tidak perasan akan kewujudan organisasi ini. Tetapi sejak meletusnya isu “LISTEN! Bawani vs Sharifah Zohra” di media sesawang diri ini terpanggil untuk kenal SW1M lebih dekat.

Sedikit info mengenai SW1M:

Pertubuhan SW1M yang ditubuhkan sekitar Januari-Febuari tahun lalu ini bertujuan untuk memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak.


SW1M dikatakan dapat membantu wanita dengan mendengar masalah mereka, termasuk kes-kes penderaan domestik, dimana organisasi tersebut kemudian menyerahkan kepada Perdana Menteri dalam bentuk memorandum. Tambahan lagi organisasi SW1M ini juga dilihat sebagai “NGO untuk BN” akan tetapi ahli organisasi tersebut mendakwa bahawa mereka bebas dan “tidak mewakili mana-mana parti politik”.

Slogan “1 Malaysia” dalam nama organisasi tersebut dipilih atas beberapa faktor. Antaranya adalah kerana mereka “menghormati” Perdana Menteri kita Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Antara peneraju utama SW1M ini adalah: Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin (Presiden) dan saudari Emalee (dikenali sebagai Ratu Naga) yang bertindak sebagai pentadbir halaman facebook bagi SW1M.



Pandangan saya, apa pun pertubuhan yang diwujudkan semestinya mempunyai misi dan visi yang jelas. Segala VMO yang bagus jika dijalankan dengan sebaiknya pasti memberi impak yang positif kepada seluruh masyarakat. Tambah pula bilamana ianya punya kolerasi yang kuat dengan pembangunan wanita maka ianya sangat baik sekali. Tetapi sayang seribu kali sayang jika agenda “besar” kita telah dikaburkan dan diruntuhkan dek kerana agenda “sampingan”. Maka dari situ masyarakat sekeliling semestinya sudah mula celik akan hakikat sebenar. Sejauh mana penafian agenda “sampingan” kita sebelum ini kini sudah jelas lagi terang. Justeru itu, pihak yang berkenaan harus ambil iktibar dan mencari solusi terbaik. Jangan diam sahaja dan berlaku tidak professional.   


Saturday, January 19, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -intro-



Malam sudah lama menyepi tetapi Sakeena baru sahaja terasa ingin melelapkan mata. Dia pun membaringkan badannya yang sedikit berisi perlahan-lahan di atas tilam katil bujangnya. Terasa sedap badannya itu apabila dapat diregangkan di atas katil usang itu. Namun, mata dan badannya yang meronta-ronta untuk dibelai itu sepertinya tidak dapat melawan gelora hatinya yang tidak kenal erti rehat. Kalbunya berkocak kembali. Pelbagai perasaan yang membusung di dadanya bertambah menyesakkan batinnya. Ya Allah… terasa sarat benar hati ini. Aku sepertinya tidak mampu lagi membendung segala rasa. Aku benar-benar tidak kuat… Bagaimanakah aku ingin keluar dari segala kemelut duka ini. Ya Allah bantulah hambaMu ini. Buat sekian kalinya hati Sakeena merintih duka.

Tidak dapat memaksa dirinya memejamkan mata Sakeena lantas bangun dari pembaringan. Hatinya tidak henti-henti berzikir mengingati Allah. Dadanya bagaikan bercempera dan menunjal-nunjal. Sakit sungguh rasanya. Segera kakinya dilangkahkan menuju ke bilik air yang berada di luar dari biliknya. Pili air yang berada berhampiran dengan kolah dibuka kemudiannya dengan tertib dia mewudukkan dirinya. Air wudhuk yang sejuk mengalir di sebahagian anggota wudhuknya itu terasa turut sama mententeramkan hatinya yang gundah sebentar tadi.

 Telekung sembahyang yang tergantung elok di tepi katilnya dicapai. Sakeena ingin menghadap Penciptanya. Moga gelora hati ini tidak merusuh lagi. Solat sunat Taubat dua rakaat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tunduk kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.. Buat sekian kalinya empangan air matanya tidak mampu dibenteng lagi. Pecah dan deras sekali. Dia merintih dan merayu kepada Tuhannya. Tanpa jemu dan penuh mengharap…


Hatiku merayu rindu
Kasihku padaMu syahdu
Munajat hamba padaMu
Mengharap kasih sayangMu

Carilah ilmu mengenal Allah
Tanamkan takut neraka Allah
Sampaikan harap syurga Allah
Carilah keredhoan Allah

Rinduku ya Rasulullah
Padamu ya Habiballah
Walau tak pernah bersua
Cintaku tetap membara

Rinduku ya Rasulallah
Padamu ya Habiballah
Engkaulah buah hatiku
Engkaulah kekasih Allah

Alangkah indah pribadimu
Tidak tergambar mulia akhlaqmu
Engkaulah rasul pilihan Allah
Kaulah rahmat seluruh alam

My heart is loving You
My heart is just for You
Knowing You Allah
I will try to get close to You

Let us find the way to know God
Feel the torches of hell-fire
Think of pleasures of paradise
Find the way to get Allah's love

Hatiku merayu rindu
Kasihku padaMu syahdu
Bertemu Allah yang Esa
Menjadi idaman kalbu

p/s: Sebuah intro kepada cerpen yang bakal menyusul sempena MaulidurRasul. Moga sahabat-sahabat pembaca sudi untuk meluangkan masa untuk membaca. Nantikan full cerpen ini nanti! Salam MaulidurRasul..^_^


Album : Puji-Pujian
Munsyid : Raihan
http://liriknasyid.com

Monday, January 14, 2013

Titisan Embun calleryana -bab 2-




AllahuAkbar..AllahuAkbar..

Azan Maghrib berkumandang membelah atmosfera merah petang hari. Suara seruan itu kedengaran jelas sekali menerombosi pembesar suara yang terletak di tingkat tiga blok Fatimah Az-Zahra. Memalu hati-hati manusia yang dekat dengan-NYA agar segera menyahut panggilan Yang Maha Esa.

Jari jemari milik gadis bermata coklat tua yang tadinya menari lincah di atas keyboard terus tehenti. Document yang diolah lebih dari sejam itu ditekan butang ‘save’ dan laptop ditukar kepada mode sleep

Yusra bingkas bangun. Kerusi berwarna hijau yang didukinya tadi disorong rapat ke meja belajar. Kain tuala kecil yang tersidai di tepi pintu diambil dan diletakkan di atas kepalanya. Bilik air yang terletak bersebelahan biliknya terus sahaja dituju. 

Seusai membersihkan diri dan berwudhu’, dengan pantas Yusra merapikan dirinya. Meyarungkan jubah berwarna coklat gelap dan mengenakan tudung Cempaka berbidang 60 yang berwarna coklat muda dan berlatarkan abstrak bunga-bungaan. Kemudiannya dia meletakkan sedikit bedak talkum dan dua calitan wangian 1 Drop Perfume. Pantas sahaja dia menyiapkan dirinya. 

Kemudian sarung kaki berwarna coklat dicapai. Perkara ini menjadi kemestian buat Yusra sebelum melangkah keluar. Mukena yang tersidai di penyangkut tepi almarinya digapai dan diletakkan di lengan kirinya. 

“Kak Mai, Yusra turun ke surau dulu ya. Anyone calls just pick it up for me yea…” pesan Yusra sambil memakai sarung kakinya itu. 

Alright then..hati-hati..” Kak Maisara membalas dengan senyuman.

*******
Usai sahaja berjemaah di surau Yusra tidak menunggu solat Isyak seperti kebiasaannya. Dia bergegas naik ke biliknya. Di awal-awal semester begini sungguh banyak perkara perlu dicaturkan. Dari hal akademik sehinggalah hal-hal persatuan. Deadline yang diletakkannya sendiri perlu dipatuhi demi kelancaran semua tanggungjawab dipikulnya. Bukan mudah baginya yang sudah tentu amat jauh beza kehidupan pelajar daripada kebanyakan pelajar biasa. Namun, cabaran yang ditempuhinya tidak sesekali dirasakan suatu bebanan. Malah, dia merasakannya sebagai satu anugerah terbesar dari Allah.

Sesampainya di bilik terus sahaja dia membuka tudungnya. Kak Maisarah tidak ada. Tetapi pintu bilik tidak berkunci. Mungkin di tandas la tu gamaknya. Tanpa melengahkan masa lagi punggungnya terus dihenyakkan di atas kerusi. Monitor laptop Acer Aspire 4920 miliknya yang tadi berada dalam keadaan tidur ditegakkan ke atas. Butang power ditekan. Skrin yang dibiarkan tidur sebentar tadi bangun kembali menyalakan dirinya. baru sahaja jarinya ingin mencecah ke atas papan kekunci pintu bilik dibuka. Yusra menoleh sebentar. Kelihatannya Kak Maisarah menjinjit bakul peralatan mandian dan kepalanya berbalut dengan tuala. 

“Eh Yusra, dah balik? Dah tengok phone? Ada mesej rasanya tadi.” 

“Oh ye? Tak tengok pulak lagi, akak dah boleh solat?” Yusra menyoal Kak Maisarah yang sedang membentangkan sejadah.

Kak Maisarah mengukir senyuman di bibirnya, “Alhamdulillah dah boleh ni, baru ja mandi tadi.”

Tidak mahu mengganggu Kak Maisarah yang ingin mengerjakan kewajibannya kepala Yusra dialihkan semula menghadap komputernya. Dokumen yang ditinggalkan tadi dibuka kembali. Perkataan ‘Case Study 1: RAMSAR Management Plan’ terpampang. Tugasan tersebut telah diberikan oleh Dr. Amanda kepada seluruh pelajar kelasnya menerusi Student Learning System (SLS). Baru sahaja tugasan tersebut dimuat naik di SLS petang tadi. Walaupun kelas petang tadi dibatalkan kerana pensyarah tersebut perlu menghadiri satu Konvensyen Alam Sekitar di Putrajaya. Namun, gempar seluruh kelasnya petang tadi dek kerana mesej berangkai yang diterima daripada ketua kelas mereka memberitahu bahawa Dr. Amanda mahu mereka bersedia untuk bentangkan case study tersebut di dalam kelas minggu hadapan! Aduh, terasa berat pula kepalanya. Tidak dapat tidak memang kena siapkan sesegera mungkin tugasan ni. 

Sudah la minggu ni sangat padat jadualnya. Program Daurah Akhlaq Islami (DA’I) akan berlangsung hujung minggu ini. Sudah tentulah berderet-deret mesyuarat penyelarasan program menanti. Ya, setiap malam! Malam ini? Semestinya juga ada. Aduh! Sekali lagi keluhan bergema dalam benaknya. Dia hampir terlupa untuk melihat mesej. Entah-entah mesej mengenai mesyuarat. Yusra menjangkaukan tangannya untuk mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas bantal. Mesej dari Yazid Saifullah. 

Salam ‘alaik Yusra. Enti, meeting DA’I malam ni cancel ya. Ana baru tau ada meeting Perhimpunan Agung pulak. Enti tolong bagitau s/u. Maaf lambat kabo. Ana rush sikit ni. Sebaiknya mintak unit2 buat meeting sendiri terutama pengisian. Kalu bole enti tlg pantau pengisian meeting ya. Meeting keseluruan esok ana nak tau progress. Syukran.

Allah, jam tangannya dilihat. Jarum pendek menunjukkan angka lapan. Manakala jarum panjang angka satu. Alhamdulillah, ada masa lagi ni. Risau pula kalau sudah hampir Isyak. Jika hampir Isyak maka hampirlah juga kepada mesyuarat yang sudah dipersetujui diadakan pada jam 9.00 malam. Tanpa berlengah lagi jari-jemari Yusra pantas menaipkan mesej memaklumkan akan pembatalan mesyuarat. Mesej tersebut dihantarkan secara berkumpulan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) program termasuklah Wahida iaitu Setiausaha program. Kemudian laju jemarinya memaklumkan secara individu kepada Wahida supaya tidak perlu lagi kehadapankan mesej tersebut. Kebiasaannya jika ada sebarang pemberitahuan daripada Pengerusi program iaitu Yazid dia akan maklumkan kepada Yusra sahaja. Kemudian menjadi tugas Yusra untuk maklumkan kepada Wahida. Tetapi dalam keadaan kesuntukan masa seperti ini Yusra tidak berani bertindak begitu. Takut jika Wahida lambat membaca mesej tersebut pula. 

Yusra yang dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Pengerusi bukan hanya bertindak sebagai penolong kepada Pengerusi. Tetapi yang paling penting adalah tugas sebagai pemantau unit-unit penting dalam organisasi mereka. Dia perlu turut sama turun ke dalam mesyuarat unit tersebut dan melakukan brainstorm secara bersama. Unit Pengisian contohnya sangat penting dalam sesebuah organisasi program. Unit tersebut yang rata-ratanya terdiri daripada otai-otai KRI membuatkan Yusra kekadang terasa segan berada dalam kalangan mereka. Pemantau unit tersebut sahaja merupakan pimpinan-pimpinan Lajnah Pembangunan Insan (LPI) bagi KRI. Manakala ketua dan timbalan ketua unit pula merupakan ketua nuqaba’ bagi Intelligent Circle (IC) di bawah LPI. Boleh dikatakan semua ahli unit pengisian program merupakan seniornya! Aduh, Yusra berasa segan sekali. Mujurlah ada Kak Amni dan Kak Salwa yang banyak membimbingnya. Tidaklah terlalu kekok bilamana masuk mesyuarat mereka. 

Sambil menunggu masuknya waktu Isyak Yusra kembali menatap skrin komputernya. Papan kekunci ditekan dan tetikus digerakkan. Masa yang ada walau sebentar perlu digunakan semaksima yang mungkin. Dia tekun mencari bahan dari internet. Paperwork yang berkaitan tajuk tugasan dicari sebayak yang boleh dan kemudiannya semuanya dimuat turun. 

Ketika leka Yusra melakukan pencarian maklumat menggunakan bantuan abang Google, laungan azan yang agak kuat kedengaran melalui corong pembesar suara komputernya. Terkejut jadinya Yusra. Dia terlupa memperlahankan volume komputer. Selang lebih kurang seminit azan daripada surau pula kedengaran. Terus Yusra memberhentikan laungan azan digital yang telah diset dalam komputernya itu. Kemudian dia bangun ingin menuju ke tandas untuk memperbaharui wudhuk. 

Kak Maisarah kelihatan culas sekali lena di atas katil tanpa menanggalkan telekung sembahyangnya. Yusra menggeleng kepala dan tersenyum melihatnya. 

“Kak… dah masuk Isyak ni.” Seraya Yusra mengejutkan secara perlahan teman sebiliknya itu sebelum melangkahkan kaki ke tandas. Kak Maisarah yang baru tersedar terus sahaja bangun dan menggeliatkan sedikit tubuh kurusnya. 

Selesai bersugi dan berwudhuk Yusra kembali ke biliknya. Maisarah kelihatannya masih termangu-mangu di katil.

Yusra mendekatinya dan menggawangkan tangannya di hadapan Kak Maisarah dan menepuk sedikit bahunya lantas berkata “Kak Mai, kenapa?”. 

Maisarah yang sepertinya baru tersedar menghalakan pandangan ke arah Yusra “Aapa apa, Yusra nak gi surau ke? Tunggu akak kejap. Nak gi sekali.” Lantas dia bangun dari duduknya dan terkocoh-kocoh ke tandas. 

“Ok kak, tapi cepat sikit tau.” Yusra sedikit melaung. Sambil menunggu Kak Maisarah, Yusra menghadap komputernya. Dia meneliti semula bahan-bahan yang telah dicarinya sebentar tadi dan memastikan semuanya telah disimpan. Kemudian dia membuat satu folder baru di Desktop komputernya yang bertajuk ‘Ramsar Management’. Semua bahan-bahan yang telah dimuat turun tadi kemudiannya dimasukkan ke dalam folder tersebut agar mudah dia ingin meneruskan kerjanya nanti. 

‘Rasanya sekejap lagi ada mesyuarat unit pengisian ni’. Hatinya terdetik. ‘Baik aku shutdown komputer. Habis meeting boleh sambung balik kerja ni. InsyaAllah…’. Yusra menanam azam dalam dirinya untuk segera menyambung kerjanya selepas pulang dari mesyuarat unit. Setelah Kak Maisarah sudah siap dia menggapai telefon bimbit dan naskhah al-Qurannya. Mereka sama-sama beriringin menuju ke surau kolej kediaman mereka.  

Saturday, January 12, 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 berjaya dan aman



Hari ni hari bersejarah. Himpunan Kebangkitan Rakyat KL 112. Diadakan di Stadium Merdeka. Acara yang bermula sekitar jam 9.00 pagi hari ini tanggal 12 Januari 2012 berakhir sekitar 4.30 petang tadi. Dihadiri mencecah ratusan ribu peserta! Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar! Dengan mendapat kerjasama pelbagai pihak. Terima kasih. 
Himpunan ini bertujuan bagi menyampaikan DEKLARASI yang mengandungi lapan perkara. Bacaan ikrar atau Deklarasi HKR #KL112 itu dibacakan oleh Datuk Saifudin Nasution Ismail dan diulangi oleh sekalian yang hadir termasuk kesemua pemimpin Pakatan yang berada di atas pentas.

Deklarasi itu adalah:
  1. Menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
  2. Menuntut reputasi dan wibawa Felda di selamatkan.
  3. Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dan setara dengan Semenanjung.
  4. Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum.
  5. Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme kakitangan awam.
  6. Menuntut alam sekitar yang bersih dan sihat.
  7. Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan.
  8. Menuntut pembebasan tahanan politik.
  9. Menuntut agar kampung2 tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.
  10. Menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia.

Nampaknya Alhamdulillah, saya mengucapkan ribuan terima kasih buat siaran Berita Utama TV yang rata-rata tidak menyeleweng fakta sebenar berkenaan perhimpunan ini. Cuma yang menjadi tumpuan utama adalah isu kanak-kanak di bawah umur yang turut sama dibawa pleh penjaga mereka dalam perhimpunan. Apa-apa pun saya  secara umumnya berpuas hati sebagai rakyat Malaysia kerana kerajaan membenarkan rakyat jelata untuk berhimpun secara HALAL! Ini merupakan keadilan yang pastinya sentiasa dinanti-nantikan.

Terima kasih juga tidak terhingga buat encik-encik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang memberi kerjasama yang baik di samping petugas-petugas dari Jabatan Amal Malaysia yang penuh dedikasi. Jazakumullah khaira!

Jabatan Amal Malaysia dapat bekerjasama baik dengan PDRM
Sejumlah petugas Jabatan Amal diperuntukkan bagi memastikan keamanan sepanjang perhimpunan


Selain ucapan dari pimpinan-pimpinan parti Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), hadirin juga disajikan dengan persembahan dari penyanyi rock iaitu saudara Ito dan juga sasterawan negara A Samad Said.

Sedikit soroton sekitar HKR112:

Birdview ketika berlangsungnya HKR112

Banjiran hadirin yang menyertai perhimpunan:


Polis Diraja Malaysia turut memperakui jangkaan jumlah hadirin yang mencecah ratusan ribu.




Peniaga-peniaga di sekitar turut sama merasa tempias rezeki:




Sedikit kesesakan lalulintas namun Alhamdulillah tiada kekacauan huru hara yang tercetus seperti dalam Bersih 3.0 yang lepas:



Harapannya, moga negara kita bakal berlestarikan keamanan demokrasi serta bertunjangkan kepimpinan Islam. Insya-Allah…